Pertunjukan tersebut mengandungi mesej mendidik yang disampaikan dengan cara yang kreatif dan menarik minat murid-murid Taski. Pergerakan boneka watak binatang disertai dengan bunyi, latar suara dan muzik tersebut membawakan kisah seekor buaya yang sombong tidak mendengar nasihat sahabat-sahabatnya, iaitu watak monyet, burung dan katak.
Sang buaya tersebut amat degil tidak mahu memakan makanan yang berkhasiat, terutama dalam menjaga kesihatan gigi. Sebaliknya, sang buaya lebih menyukai makanan yang mengandungi gula dan lemak yang tinggi seperti kek, aiskrim dan gula-gula.
Di sinilah mesej penting disampaikan: sang buaya menderita akan sakit gig dan berjumpa dengan jururawat di “Klinik Pergigian Sekolah.” Buaya haiwan yang tidak berakal pun ke klinik, inikan pula manusia. Daripada turut merana sekali seperti buaya, adalah elok supaya tidak berlebihan dalam memakan makanan tersebut ;)
Selesai persembahan, wakil jururawat telah berkongsi tips-tips penjagaan gigi yang baik. Murid-murid disarankan supaya menggosok gigi sebanyak tiga kali sehari. Beliau memaklumkan bahawa murid-murid boleh ke klinik sekolah terdekat untuk melakukan pemeriksaan dan penjagaan kesihatan gigi.
Berkenaan penjagaan gigi, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam amat teliti akan kebersihan diri beliau. Terkandung dalam kitab Insan Kamil: Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, karangan ulama besar Mekah, Syeikh Muhammad bin Alawi al-Maliki:
Adapun perhatian baginda kepada gigi, maka hal itu diketahui akan kebiasaannya memakai cucuk gigi setiap kali selesai makan untuk membersihkannya, dan baginda bersabda,
"Sungguh baik sekali umatku yang selalu membersihkan gigi waktu berwuduk mahupun setelah makan, pada waktu wuduk dengan berkumur-kumur, dan menghirup air ke hidung serta membersihkan celah-celah jari, adapun membersihkan gigi daripada sisa makanan, kerana malaikat sangat benci, apabila melihat seorang yang tegak berdiri waktu solat, sedangkan sisa-sisa makanan masih terlekat di celah-celah giginya."
Dan perhatian Nabi sallallahu alaihi wasallam terhadap mulut, terbukti juga dengan selalu dipakainya siwak berulang kali, pada saat akan bersolat, berwuduk (iaitu), akan tidur dan setelah bangun daripada tidurnya, dan baginda selalu menganjurkan umatnya akan hal itu. an-Nasa'i meriwayatkan, bahawa Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda,
"Siwak itu mensucikan mulut, membawa keredhaan Tuhan."
Begitu penting akan membersihkan gigi, sehinggakan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengatakan:
"Kalau sekiranya tidak memberatkan umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka agar bersiwak, pada tiap kali akan solat." (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Tentunya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam mahukan umatnya mempunyai kelebihan ganjaran pahala dan kekemasan pada diri mereka. Adik-adik, rajin-rajin gosok gigi, ya! ;)
Dapatkan infonasihat daripada pautan ini.
"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"
No comments:
Post a Comment