Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Monday, October 3, 2011

Ujian Kemasukan Tahun 1 SK(A) Hj. Abdul Kadir Hassan 2012


Kepada

Ibu Bapa / Penjaga,

Dimaklumkan bahawa ujian kemasukan Tahun 1 SK(A) Hj. Abdul Kadir Hassan bagi sesi persekolahan 2012 akan diadakan seperti yang berikut:

Tarikh : 8 Oktober 2011, Sabtu
Tempat : SK(A) Abdul Kadir Hassan, Kuching
Masa : 9.00 – 10.30 pagi

Dinasihatkan agar ibu bapa:

1.Menghantar anak seawal pukul 8.00 pagi
2.Memakai pakaian seragam Taski ABIM (hijau)
3.Membawa alat tulis
4.Menyediakan bekal minuman
5.Tidak menunggu anak sehingga selesai ujian

Diharapkan para ibu bapa / penjaga dapat memberikan kerjasama yang baik. Guru-guru Taski ABIM akan bertugas membantu anak-anak untuk menghadapi ujian dengan baik. Semoga anak-anak diberikan ketenangan dan dimudahkan untuk mendapat keputusan yang terbaik. Kita hanya berusaha, Allah yang akan memutuskan.

Sekian, terima kasih.

“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Wednesday, July 20, 2011

‘Tolong wan, adik sakit...’


Peristiwa menyayat hati ini telah berlaku di Ipoh pada Rabu, 20 Julai 2011. Hatinya yang girang sekembali dari Taska dinanti oleh nendanya bertukar menjadi mimpi ngeri. Belum sahaja mencecah ruangan rumah, beg adik Muhammad Haziq Aqasha Muhamad Sazali, 3 tahun tersangkut pada pintu van dan mengheretnya sejauh 100 meter. Kejadian tersebut telah mengakibatkan beliau cedera parah di bahagian kepala, perut dan tangannya.

Laporan selanjutnya boleh dibaca di MyMetro di pautan ini.

Marilah kita mengambil iktibar daripada peristiwa pilu ini. Jika kita mengambil anak-anak, biarlah kita pimpin mereka ke kenderaan kita. Jangan biarkan mereka berjalan sendirian ataupun berlari-lari ke kenderaan. Sekurang-kurangnya, kita menanti mereka di pintu pagar taska / taski. Tambahan pula, jika mereka menaiki bas ataupun van, nantilah mereka agar mereka tiba di rumah dengan selamat.

Anak permata yang berharga. Bersamalah kita menjaga dengan sebaiknya.

Terima kasih atas perhatian anda.

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

“Makan Sik Nyaman?”


“Apa dimasak urang tok? Sik nyaman ada ajak.”

“Urang tok masak sup ataupun njerang aek?”

Apabila kita menikmati hidangan, adakah pernah kita berkata-kata seperti ini? Adakah kita menyedari perkataan kita? Ataupun sudah menjadi kebiasaan apabila masakan tidak enak? Apakah reaksi Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam apabila berhadapan dengan situasi tersebut? Apakah adab yang beliau, model qudwah hasanah (contoh terbaik) tonjolkan Marilah kita renungkan.

Dalam kitab al-Azkar karangan Imam Nawawi rahimahullah (w. 676H), dalam bab ‘Tidak boleh menghina makanan dan minuman, ’ beliau mengutarakan beberapa adab Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam:

Kami riwayatkan di dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim daripada Abu Hurairah radiallahu ‘anhu, dia berkata: Rasulullah sallallahu alaihi wasallam tidak pernah menghina makanan sedikit pun. Apabila baginda tidak suka, maka baginda makan, tetapi apabila tidak suka, maka baginda tinggalkan.

Dalam riwayat Muslim disebutkan: Apabila tidak suka, maka baginda diam.




Akan tetapi, baginda menolak dengan baik apabila dihidangkan dengan makanan yang bagida tidak biasa makan. Imam Nawawi rahimahullah menyebutkan:

Kami riwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim daripada Khalid al-Walid dalam hadith tentang dhabb (sejenis haiwan padang pasir) yang dipanggang. Ketika itu beberapa sahabat menghidangkannya kepada Rasulullah sallallahu alaihi wasallam, kemudian baginda menghulurkan tangannya untuk mengambil.

Mereka berkata, ‘Ini daging dhabb, wahai Rasulullah.’ Rasulullah pun menarik kembali tangannya.

Khalid al-Walid bertanya, ‘Adakah dhabb haram, wahai Rasulullah?’

Baginda bersabda, ‘Tidak, tapi binatang ini tidak pernah ada di tanah kaumku, sehingga aku berasa asing kepadanya.’


Indahnya Islam, sehinggakan berhadapan dengan makanan pun ada adabnya yang halus sekali. Ini pula apabila berhadapan dengan sesama manusia, kepada Tuhan apatah lagi.

Marilah kita membiasakan untuk sentiasa mengawal diri daripada berkata-kata sesuatu yang tidak elok, sekalipun makanan itu tidak sedap. Sungguh, makanan itu telah dirasa dan telah masuk ke dalam perut kita, yang akan jadi darah daging kita juga. Mungkin juga kita sedang diuji dengan sekecil-kecil ujian seperti itu, adakah kita sebagai hamba yang bersyukur.

Allahu ‘alam.

“Ke Arah Pendidikan Anak-anak yang Soleh dan Solehah”

Tuesday, May 10, 2011

Sang Buaya Sakit Gigi

Satu pertunjukan boneka “Sang Buaya yang Sombong” telah diadakan di Taski ABIM Taman Sri Wangi pada Rabu, 7 Jamadil Akhir / 11 Mei 2011. Pertunjukan tersebut merupakan aktiviti promosi kesihatan mulut oleh Klinik Pergigian Besar, Poliklinik Komuniti, Jalan Masjid, Kuching. Pertunjukan tersebut telah ditonton dengan penuh minat oleh murid-murid Taski.

Pertunjukan tersebut mengandungi mesej mendidik yang disampaikan dengan cara yang kreatif dan menarik minat murid-murid Taski. Pergerakan boneka watak binatang disertai dengan bunyi, latar suara dan muzik tersebut membawakan kisah seekor buaya yang sombong tidak mendengar nasihat sahabat-sahabatnya, iaitu watak monyet, burung dan katak.

Sang buaya tersebut amat degil tidak mahu memakan makanan yang berkhasiat, terutama dalam menjaga kesihatan gigi. Sebaliknya, sang buaya lebih menyukai makanan yang mengandungi gula dan lemak yang tinggi seperti kek, aiskrim dan gula-gula.


Di sinilah mesej penting disampaikan: sang buaya menderita akan sakit gig dan berjumpa dengan jururawat di “Klinik Pergigian Sekolah.” Buaya haiwan yang tidak berakal pun ke klinik, inikan pula manusia. Daripada turut merana sekali seperti buaya, adalah elok supaya tidak berlebihan dalam memakan makanan tersebut ;)


Selesai persembahan, wakil jururawat telah berkongsi tips-tips penjagaan gigi yang baik. Murid-murid disarankan supaya menggosok gigi sebanyak tiga kali sehari. Beliau memaklumkan bahawa murid-murid boleh ke klinik sekolah terdekat untuk melakukan pemeriksaan dan penjagaan kesihatan gigi.

Berkenaan penjagaan gigi, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam amat teliti akan kebersihan diri beliau. Terkandung dalam kitab Insan Kamil: Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, karangan ulama besar Mekah, Syeikh Muhammad bin Alawi al-Maliki:

Adapun perhatian baginda kepada gigi, maka hal itu diketahui akan kebiasaannya memakai cucuk gigi setiap kali selesai makan untuk membersihkannya, dan baginda bersabda,

"Sungguh baik sekali umatku yang selalu membersihkan gigi waktu berwuduk mahupun setelah makan, pada waktu wuduk dengan berkumur-kumur, dan menghirup air ke hidung serta membersihkan celah-celah jari, adapun membersihkan gigi daripada sisa makanan, kerana malaikat sangat benci, apabila melihat seorang yang tegak berdiri waktu solat, sedangkan sisa-sisa makanan masih terlekat di celah-celah giginya."

Dan perhatian Nabi sallallahu alaihi wasallam terhadap mulut, terbukti juga dengan selalu dipakainya siwak berulang kali, pada saat akan bersolat, berwuduk (iaitu), akan tidur dan setelah bangun daripada tidurnya, dan baginda selalu menganjurkan umatnya akan hal itu. an-Nasa'i meriwayatkan, bahawa Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda,

"Siwak itu mensucikan mulut, membawa keredhaan Tuhan."



Begitu penting akan membersihkan gigi, sehinggakan Rasulullah sallallahu alaihi wasallam mengatakan:

"Kalau sekiranya tidak memberatkan umatku, nescaya aku akan perintahkan mereka agar bersiwak, pada tiap kali akan solat." (Hadith Riwayat al-Bukhari)


Tentunya Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam mahukan umatnya mempunyai kelebihan ganjaran pahala dan kekemasan pada diri mereka. Adik-adik, rajin-rajin gosok gigi, ya! ;)

Dapatkan infonasihat daripada pautan ini.

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Thursday, April 21, 2011

Pesan ibnu Khaldun


Berkenaan peri mustahak akan pelajaran al-Quran kepada pembesaran anak-anak, ibnu Khaldun dalam kitab beliau, Mukaddimah, telah menulis:

“Ketahuilah bahawa mengajar al-Quran kepada anak-anak, adalah lambang Islam yang selalu dikerjakan oleh kalangan agama Islam di seluruh penjuru negeri, untuk meresapkan iman dan meneguhkan aqidah melalui ayat-ayat sucinya dalam hati yang masih kosong dan bersih, agar al-Quran tetap menjadi dasar yang di atasnya tegak berdiri seluruh bakat dan pengetahuan yang akan diperolehnya kelak pada kemudian hari.

Bahawa telah menjadi adat istiadat yang khas dalam lingkungan Islam, mendahulukan pelajaran al-Quran untuk mengutamakan berkat daripadanya, dan kerana kekhuatiran akan adanya halangan dan hal-hal negative yang lazimnya dialami oleh anak-anak yang berusia penuh pancaroba itu, sehingga pelajaran al-Quran akhirnya ditinggalkan."


Ayuh, budayakanlah membaca, menghayati, memahami dan mengamalkan al-Quran. Jadikanlah membaca kitab yang mulia ini mendarah daging dalam kehidupan seharian kita. Insya-Allah, berkat kesabaran kita konsisten dalam beramal, maka terpancarlah cahaya yang menarik kita sekeluarga untuk mendekati ajaran-Nya.


“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Thursday, April 14, 2011

Apresiasi Hari Prestasi


Hari Prestasi Taski ABIM Kuching-Samarahan telah diadakan pada hari ini 15 April 2011, Jumaat di seluruh cawangan. Hari Prestasi merupakan program dua kali setahun mempertemukan para ibu bapa / penjaga dan guru bagi mendengar perkembangan akademik dan akhlak anak-anak mereka di Taski.





Melalui Hari Prestasi, para ibu bapa / penjaga dapat bersua serampang dua mata mengenalpasti kelebihan dan kekurangan anak-anak, sekaligus mempertaut siratul rahim antara mereka. Guru-guru Taski yang beperanan sebagai guru kedua setelah ibu bapa / penjaga di rumah berpeluang untuk memantau perkembangan pembelajaran dan akhlak anak-anak. Mereka bertindak sebagai pelengkap dan pembantu kepada ibu bapa dalam proses pembentukan peribadi anak-anak.





Antara yang menjadi tumpuan ialah aspek akademik. Perkara ini dipandang dengan saksama, kerana anak-anak pada tahun hadapan akan bermula dengan fasa baru dalam kehidupan mereka menempuh alam persekolahan. Maka sesi ini merupakan peluang yang cukup baik untuk mempertingkatkan daya upaya menuntut ilmu serta sakhsiah yang indah.




Sambutan yang begitu menggalakkan daripada ibu bapa / penjaga amat kami hargai. Taski ABIM Kuching-Samarahan ingin mengucapkan sekalung budi atas sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pihak ibu bapa / penjaga. Kami amat berterima kasih atas kelapangan masa, cadangan, nasihat, teguran dan perhatian kepada kalian semua.


Insya-Allah, Taski ABIM akan berusaha sedaya upaya untuk menyempurnakan perkhidmatan pendidikan yang kami tawarkan. Semoga amalan-amalan kita ini dipandang dan diterima oleh Allah S.W.T... ameen...

Terima kasih. Wassalam.


“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Wednesday, March 30, 2011

Program Inspirasi Imam Muda 2011


Peka akan peri penting kekuatan umat Islam akan datang bergantung kepada belia muda, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak akan mengadakan program Inspirasi Imam Muda 2011 pada 2 sehingga 3 April 2011 ini dengan tema “Generasi Muda, Generasi Mukmin”. Butir-butir program adalah seperti yang berikut:

Tarikh : 2 – 3 April 2011
Tempat : Surau al-Falah (bersebelahan dengan Balai Bomba Samariang, Kuching)

Program ini mempunyai matlamat:
a.Mengeratkan siratulrahim sesama peserta, pihak surau & penganjur.
b.Mengajak golongan muda membuat persiapan lengkap bagi mempelajari salah satu tuntutan fardhu kifayah yang harus mereka pelajari.
c.Memberi kesedaran kepada para peserta akan kepentingan solat.
d.Memberi pendedahan mengenai cara-cara menunaikan solat dengan sempurna
e.Mengimarahkan surau/masjid, memberi kesedaran agar solat berjemaah dapat dibudayakan.

Berikut merupakan tentatif program:


Hari Pertama, 2 April 2011 (Sabtu)

8.00 pagi: Pendaftaran peserta

8.15 pagi: Taklimat peserta

9.00 pagi: Pengurusan Jenazah 1
“Sebelum Kematian & Persiapan Sejurus Kematian”
Ustaz Sabri Wahid
Pegawai Urusetia Saudara Kita, Majlis Islam Sarawak


10.00 pagi: Minum pagi

10.30 pagi: Pengurusan Jenazah 2

“Solat Jenazah & Pengebumian”
Ustaz Wan Sabri Wahid
Pegawai Urusetia Saudara Kita, Majlis Islam Sarawak


12.00 t/hari: Solat Zuhur

2.15 petang: Praktikal Pengurusan Jenazah (mandi)

3.15 petang: Praktikal Pengurusan Jenazah (Kafan & Solat)

4.15 petang: Minum petang
Solat Asar

5.15 petang: Khidmat diri

6.30 petang: Makan malam

Solat Maghrib
Bacaan zikir/ratib
Solat Isyak

8.30 malam: Kuliah Perdana

“Pemurnian ‘Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dalam Amalan Ulama’ Nusantara”
Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan
Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak


10.00 malam: Minum malam
Iktikaf



Hari Kedua, 3 April 2011 (Ahad)

3.00 pagi: Qiyamullail
- Solat Sunat Tahajjud
- Solat Sunat Taubat
- Solat Sunat Tasbih
- Solat Sunat Hajat
- Solat Sunat Witir

5.30 pagi: Solat Subuh Berjemaah
Kuliah Subuh
Ustaz Muhammed ‘Afif bin Iskandar
Exco Penerangan dan Penerbitan ABIM Negeri Sarawak


7.00 pagi: Sarapan pagi

8.00 pagi: Majlis Penangguhan
Doa Wehdah

Pembinaan potensi manusia melalui latihan-latihan tertentu adalah suatu ketetapan yang ditunjukkan oleh Allah S.W.T. Ini kerana manusia punyai potensi yang padanya terdapat akal, jasad dan roh. Jikalau peningkatan akal dan jasad memerlukan latihan dan bimbingan tertentu, maka pengingkatan dalam aspek roh dan hati adalah lebih rumit dan halus.



Justeru, amat tinggilah harapan kita, semoga program ini dapat berjalan dengan lancar dan segala objektif dapat dicapai. Semoga kita sentiasa dilindungi dan dirahmati oleh Allah S.W.T... ameen...


Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah