Showing posts with label Ibu Bapa. Show all posts
Showing posts with label Ibu Bapa. Show all posts

Friday, July 22, 2011

Jadual Kelas Taski Sepanjang Bulan Ramadhan 1432H


Assalamualaikum

Perhatian kepada:
Ibu bapa / Penjaga / Ahli Masyarakat

Bersempena dengan Ramadhan ini, terdapat perubahan pada jadual kelas Taski ABIM Kuching-Samarahan. Jadual kelas adalah seperti yang berikut:

Sesi pagi:
Masa: 8.00 pagi sehingga 11.00 pagi

**Kelas Smart Reader adalah daripada 11.00 pagi sehingga 11.30 pagi


Sesi petang:
Masa: 1.30 petang sehingga 4.30 petang
**Kelas Smart Reader adalah daripada 1.00 petang sehingga 1.30 petang

Mohon perhatian agar dapat mengambil anak-anak tuan / puan tidak lebih daripada pukul 5.00 petang. Ini kerana guru cuma bertugas sehingga 5.00 petang sahaja.

Semoga kita diberikan kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadhan al-Mubarak yang mulia, ameen.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.

Wednesday, June 8, 2011

Sukaneka Taski ABIM Kuching-Samarahan 2011


Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Sukaneka Taski ABIM 2011 telah diadakan dengan jayanya pada 28 Jun 2011 yang lepas. Bertempat di Stadium Majlis Bandaran Kuching Selatan (MBKS), Pending, Kuching, temasya tersebut telah dihadiri oleh lebih seribu hadirin yang terdiri daripada ibu bapa dan sahabat handai. Seramai 404 orang adik-adik pelajar Taski ABIM daripada 9 cawangan di kawasan Kuching dan Samarahan menjadi tumpuan pada hari kemuncak tersebut.


Temasya Sukaneka 2011 telah dirasmikan dengan oleh Yang Di-Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan. Beliau mengalu-alukan kehadiran terutamanya para ibu bapa yang sudi hadir dan memberikan sokongan padu kepada Taski ABIM dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka. Berikut merupakan kontinjen-kontinjen Sukaneka Taski ABIM 2011:
Taski ABIM Taman Sri Wangi

Taski ABIM Taman Matang Jaya

Taski ABIM Samariang A


Taski ABIM Samariang B

Taski ABIM Taman Petronesa 2

Taski ABIM Kpg Cemerlang

Taski ABIM Tabuan Jaya

Taski ABIM Taman Desa Ilmu

Taski ABIM Taman Samar Indah

Debaran semakin terasa. Adik-adik tampak tidak sabar lagi berentap di lorong-lorong acara. Temasya bermula dengan acara perbarisan daripada semua kontinjen cawangan Taski ABIM, dikepalai oleh Taski ABIM Taman Desa Ilmu (Samarahan).



Pembacaan Ikrar dan Doa oleh wakil Kontinjen Taski ABIM Taman Desa Ilmu


Perbarisan kontinjen amat meriah, kerana setiap kontinjen membawa imej tema dan warna yang tersendiri. Warna-warni pada pagi yang menceriakan suasana. Ada yang seperti pendekar dan hulubalang, ada seperti pari-pari bidadari, ada pula seperti rama-rama yang berterbangan di taman. Apapun, tentunya menggambarkan semangat membara yang dibakar oleh guru-guru. Telatah dan gelagat adik-adik Taski yang bersemangat, sering melucukan!



Terima kasih sekalung budi ditujukan khas terutama kepada para ibu bapa / penjaga yang sentiasa memberikan kepercayaan dan sokongan padu kepada Taski ABIM. Dengan keteguhan kita saling harmoni bahu-membahu, mudah-mudahan datangnya keberkatan Allah dengan muafakat yang tersebut untuk anak-anak kita. Tidak dilupakan juga, kepada pimpinan serta ahli ABIM, guru-guru dan staf Taski ABIM Kuching-Samarahan, juruhakim daripada Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dan semua individu yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak menjayakan temasya ini.

Yang Di-Pertua ABIM, Ustaz Hasfa Bakhry menyampaikan medal acara


Tahniah kepada adik-adik dan guru-guru Taski yang menang!


Semoga bertambah kuat jalinan antara kita, mudah-mudahan yang terbaik untuk generasi mendatang, insya-Allah...

“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh dan Solehah”

Sunday, May 15, 2011

Sambutan Hari Guru Taski ABIM 2011


Guru merupakan insan-insan yang tidak terkira besarnya makna dan jasa kepada kehidupan kita. Betapa siapapun seseorang itu pada suatu hari, apapun pekerjaannya, tinggi rendah darjatnya, pokok pangkalnya akan berbalik kepada jasa guru-guru yang mengajarkan, mendidik, bersabar membimbing anak-anak murid mereka.

Mulianya guru, nama mereka tidak didahului, melainkan dengan panggilan 'cikgu' ataupun seumpamanya. Dan, gelaran tersebut akan kekal melekat di bibir-bibir manusia, sekalipun jasadnya dimamah bumi...

Begitulah puisi lagenda oleh Sasterawan Negara Usman Awang dengan tajuk "Guru Oh Guru" (1979), mengungkapkan kemuliaan profesion guru, yang ikhlas membentur peribadi luhur anak-anak didiknya...


Bersempena dengan sambutan Hari Guru 2011, Taski ABIM Kuching-Samarahan dengan segala hormatnya menjemput ibu bapa / penjaga dan ahli masyarakat untuk bersama meraikan jasa dan pengorbanan para guru dalam bersama melakar pedoman untuk anak-anak. Oleh yang demikian, sambutan adalah seperti yang berikut (termasuk Taski dan Tahfiz ABIM):

Tarikh: 16 Jamadil Akhir 1432H / 20 Mei 2011, Jumaat
Tempat: Seluruh cawangan Taski ABIM Kuching-Samarahan
Masa: 8.00 pagi - 11.00 pagi
2.00 petang - 4.00 petang


Sebagai penyudah, marilah renungi ungkapan-ungkapan halus buat tatapan kepada jiwa pendidik:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
~"Guru Oh Guru" (1979), SN Usman Awang


Terima kasih atas segalanya, cikgu! Ampun salah dan silap tika kami sering tanpa sengaja menduga kesabaranmu!

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Wednesday, May 11, 2011

Jemputan ke Sukaneka Taski ABIM 2011



BIRO PENDIDIKAN ABIM SARAWAK dengan segala hormat dan takzimnya kami menjemput & mempersilakan tuan/ puan / ustaz / ustazah / saudara / saudari

ke
SUKANEKA TASKI ABIM 2011

Pada
SABTU, 28 MEI 2011 bersamaan 24 Jamadil Akhir 1432H

Tempat:

Stadium MBKS, TAMAN REKREASI, JLN PENDING, KUCHING

View Larger Map

Masa
7.30 pagi

ATURCARA

7.30 pagi Ketibaan jemputan / ibu bapa / penjaga / anak
8.00 pagi Ketibaan Ketua Biro Pendidikan ABIM Sarawak & Exco ABIM Sarawak

- Perbarisan Kontijen Taski ABIM Kuching-Samarahan
- Bacaan Ikrar / Nyanyian Lagu Negaraku / Ibu Pertiwiku / Taski ABIM
- Bacaan Doa
- Bermula Sukaneka
- Penyampaian Hadiah
- Bersurai


Semoga kehadiran tuan / puan / ustaz / ustazah / saudara / saudara
akan memeriahkan acara kami nanti, insya-Allah ;)

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Thursday, April 14, 2011

Apresiasi Hari Prestasi


Hari Prestasi Taski ABIM Kuching-Samarahan telah diadakan pada hari ini 15 April 2011, Jumaat di seluruh cawangan. Hari Prestasi merupakan program dua kali setahun mempertemukan para ibu bapa / penjaga dan guru bagi mendengar perkembangan akademik dan akhlak anak-anak mereka di Taski.





Melalui Hari Prestasi, para ibu bapa / penjaga dapat bersua serampang dua mata mengenalpasti kelebihan dan kekurangan anak-anak, sekaligus mempertaut siratul rahim antara mereka. Guru-guru Taski yang beperanan sebagai guru kedua setelah ibu bapa / penjaga di rumah berpeluang untuk memantau perkembangan pembelajaran dan akhlak anak-anak. Mereka bertindak sebagai pelengkap dan pembantu kepada ibu bapa dalam proses pembentukan peribadi anak-anak.





Antara yang menjadi tumpuan ialah aspek akademik. Perkara ini dipandang dengan saksama, kerana anak-anak pada tahun hadapan akan bermula dengan fasa baru dalam kehidupan mereka menempuh alam persekolahan. Maka sesi ini merupakan peluang yang cukup baik untuk mempertingkatkan daya upaya menuntut ilmu serta sakhsiah yang indah.




Sambutan yang begitu menggalakkan daripada ibu bapa / penjaga amat kami hargai. Taski ABIM Kuching-Samarahan ingin mengucapkan sekalung budi atas sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pihak ibu bapa / penjaga. Kami amat berterima kasih atas kelapangan masa, cadangan, nasihat, teguran dan perhatian kepada kalian semua.


Insya-Allah, Taski ABIM akan berusaha sedaya upaya untuk menyempurnakan perkhidmatan pendidikan yang kami tawarkan. Semoga amalan-amalan kita ini dipandang dan diterima oleh Allah S.W.T... ameen...

Terima kasih. Wassalam.


“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Sunday, April 10, 2011

Makluman Ruangan Komen Blog Taski ABIM


Makluman kepada pengunjung blog Taski ABIM Kuching-Samarahan, kami menyediakan ruangan anda mengajukan komen / pertanyaan kepada kami. Melalui ruangan komen tersebut, ibu bapa / penjaga boleh mengajukan pertanyaan secara khusus kepada kami.

Ruangan komen pada blog Taski ABIM


Caranya mudah sahaja. Caranya adalah:

1.Anda perlu menaip nama, emel, alamat rumah, nombor telefon pada ruangan yang disediakan.



2.Kemudian, anda taipkan komen anda pada ruangan ‘Mesej Anda’.

3.Setelah selesai mengisi komen, anda hendaklah mengesahkan komen anda dengan menaip pada ruangan ‘Image Verification.’ Anda perlu menaip perkataan / nombor / simbol yang tertera (cth: TKSG).

4.Kemudian anda klik ‘Hantar Emel.’



Jikalau komen anda tidak disahkan, anda mungkin:

1.Tertinggal untuk mengisi ruang sama ada nama, emel, alamat rumah ataupun nombor telefon pada ruangan makluman sebelumnya.

2.Tersalah isi pada ruangan ‘Image Verification.’ Anda perlu mencuba pengesahan tersebut dengan klik pada ‘Refresh Image.’ Kemudian anda mengisi semula perkataan / nombor / simbol yang tertera. Anda sahkan dengan mengklik semula ‘Hantar Emel.’

Komen / persoalan yang diajukan akan diproses dan dinilai. Kami akan membalas komen / persoalan anda sebaik dan secepat yang mungkin. Kami akan menjadikan komen / persoalan anda sebagai entri blog Taski ABIM sekiranya komen / persoalan tersebut membantu individu lain yang mempunyai isu yang hampir sama.

Selamat mencuba!




“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Saturday, April 9, 2011

Notis Pendirian Taski ABIM Kuching-Samarahan Berkenaan Pilihanraya DUN ke-10


Kepada:

Ibu bapa pelajar Taski ABIM dan ahli masyarakat,

Taski/Tahfiz ABIM Kuching/Samarahan tidak terlibat dengan mana-mana kempen yang melibatkan parti-parti yang bertanding. Kita menghormati sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini dengan tidak menghalang mana-mana pihak yang bertanding untuk berkempen asalkan tidak menggunakan premis kita sebagai tapak kempen dengan menggantung bendera, poster, pelekat (sticker) ataupun sebagainya kerana ABIM Negeri Sarawak kekal dengan dasar Non-Partisannya.


Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin,

Timbalan Yang Di-Pertua,
Merangkap Ketua Biro Pendidikan,
ABIM Negeri Sarawak

Monday, April 4, 2011

Lawatan Kasih Seri Kenangan

Laporan

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, menyambung kesinambungan Taski ABIM Kuching-Samarahan untuk berbakti kepada masyarakat melalui program Corporate Social Responsibility (CSR), Taski ABIM telah mengadakan Lawatan Kasih ke Rumah Seri Kenangan di Batu 12, Jalan Kuching-Serian pada Isnin, 4 April 2011. Rumah tersebut merupakan tempat berlindung, berteduh dan bergantung bagi orang-orang tua meneruskan kehidupan mereka pada usia senja.


Seramai sembilan orang daripada staf pengurusan dan guru Taski ABIM telah terlibat dalam program ini. Ahli rombongan telah dikepalai oleh En. Safiee bin Hanapi, Penyelia Sumber Manusia Taski. Lawatan tersebut telah mempertemukan ahli rombongan bersama kira-kira 82 orang warga emas yang telah menetap di rumah tersebut.

Begitu menyayat hati melihat keadaan para ibu dan ayah yang kesunyian. Mereka kesunyian akan perhatian dan belaian anak-anak, sanak saudara malahan cucu mereka. Ada yang terlantar, ada yang sihat berjalan-jalan terbongkok-bongok, malah ramai yang termenung jauh mengenang nasib hidup. Mengapalah mereka dihantar oleh sanak saudara, bahkan oleh darah daging mereka dan sendirian menghadapi penghujung nyawa? Hanya Tuhan yang tahu.




Kehadiran rombongan sedikit sebanyak telah menceriakan hari yang suram. Tidak kurang juga yang menegur berbual mesra. Ada yang mengadu akan gencar kehidupan yang mereka lalui. Lebih memilukan, ada yang sudah berteduh di sana selama 17 tahun! Na'uzubillahi min zaa lik! Semoga Allah menjauhkan kita daripada bersifat demikian! Sayunya suasana, sehinggakan ada yang tidak tertahan menitiskan air mata.


Mari kita renungkan akan tuntutan dalam agama Islam yang menganjurkan agar anak-anak berbuat baik kepada orang tua mereka:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang tuamu. Hanya kepada-Kulah kembalimu." (Surah Luqman, 31:14)

“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.”Hadis Riwayat Muslim


Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari


Lawatan tersebut amat menginsafkan. Sekali gus, diperlihatkan bagaimana segolongan manusia yang gersang hati budi membalas jasa ibu bapa dalam keadaan sedemikian sekali. Kita amat sesal akan sikap dan perbuatan tersebut. Kita juga risau, sikap seperti ini semakin menular dengan bertambahnya bilangan warga emas di rumah ini, rata-ratanya ditinggalkan begitu sahaja. Dalam Islam, Allah telah meletakkan dosa menderhaka kepada ibu bapa dalam kategori dosa-dosa yang besar.

Selagi hayat mereka dikandung badan, selagi itulah tuntutan menjaga dan memelihara orang tua kita masih lagi terpikul di bahu kita. Ingatlah, walau segala cara pun kita berusaha membalas jasa mereka, tidak akan terbalas, walau ditebus dengan gunung emas dan perak sekalipun...



Terima kasih kepada Rumah Seri Kenangan atas kesudian menerima kunjungan Taski ABIM Kuching-Samarahan. Insya-Allah dalam ruang dan kesempatan yang mendatang, akan ada program-program susulan suatu hari kelak. Semoga benih-benih bakti yang ditanam di dunia ini akan tumbuh mekar dan berbunga di taman-taman syurga kelak, insya-Allah...

“Ting! Ting!” Loceng diketuk kuat oleh pegawai rumah, masa makan tengahari sudah tiba. Impian mereka ada cucu yang manja memanggil dan memimpin mereka ke meja makan. Namun kali ini mereka harus berjalan perlahan-lahan memegang pinggang yang sudah lama lenguh, tiada siapa yang pedulikan.

Dengan hati yang lara, ahli rombongan pergi beredar meninggalkan Rumah Seri Kenangan....

Ya Allah, jadikanlah kami Hamba-Mu yang bersyukur!
Ya Allah, ampunilah dosa kedua-dua ibu bapa kami,
Sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami kecil!
Ya Allah, jadikan kami,
Anak-anak yang berbakti buat orang tua kami,
Sebelum masanya tiba, ya Allah!




“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”