Dimaklumkan bahawa ujian kemasukan Tahun 1 SK(A) Hj. Abdul Kadir Hassan bagi sesi persekolahan 2012 akan diadakan seperti yang berikut:
Tarikh : 8 Oktober 2011, Sabtu Tempat : SK(A) Abdul Kadir Hassan, Kuching Masa : 9.00 – 10.30 pagi
Dinasihatkan agar ibu bapa:
1.Menghantar anak seawal pukul 8.00 pagi 2.Memakai pakaian seragam Taski ABIM (hijau) 3.Membawa alat tulis 4.Menyediakan bekal minuman 5.Tidak menunggu anak sehingga selesai ujian
Diharapkan para ibu bapa / penjaga dapat memberikan kerjasama yang baik. Guru-guru Taski ABIM akan bertugas membantu anak-anak untuk menghadapi ujian dengan baik. Semoga anak-anak diberikan ketenangan dan dimudahkan untuk mendapat keputusan yang terbaik. Kita hanya berusaha, Allah yang akan memutuskan.
Taski ABIM Kuching-Samarahan dengan berbesar hati mengumumnkan bahawa pihak kami akan membuka cawangan Taski ABIM yang baru pada tahun 2012 kelak. Cawangan tersebut dibuka atas permintaan yang tinggi daripada ahli masyarakat. Mudah-mudahan dengan cawangan terkini nanti, akan memudahkan anda untuk menghantar anak-anak menerima pendidikan Islami pra-sekolah.
Cawangan tersebut adalah seperti yang berikut:
1. Kawasan: Bandar Baru Samariang
Alamat:
Sublot 86, No. 9, Lorong Cahaya Permai 10, Bandar Baru Samariang, Jalan Sultan Tengah, 93050, Petra Jaya, Kuching.
NOTA: Cawangan baru ini terletak di berdekatan dengan SMK Bandar Baru Samariang
Segala Puji kepada Allah Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, juga buat keluarga, sahabat-sahabat dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehinggalah pada Hari Kiamat kelak.
Alhamdulillah, syukur kepada-Nya, Majlis Hi-Tea 3G: Pertemuan 3 Generasi telah diadakan dengan jayanya pada 21 Syaaban 1432H / 23 Julai 2011, Sabtu di Dewan Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon, Taski ABIM Taman Sri Wangi, Kuching. Program tersebut telah menghimpunkan lebih kurang 50 orang3 generasi keluarga besar ABIM-WADAH-PERKEPIS di kalangan bonda, kaum ibu dan muslimat.
Barisan lama bersua dengan barisan baru
Ustaza Nafisah sedang berkongsi pengalaman beliau
Terima kasih sekalung budi buat hadirat yang hadir, terutama di kalangan 'orang lama' bonda-bonda WADAH, HELWA dan adik-adik HEWI PERKEPIS. Semoga pertemuan tersebut membuahkan kasih sayang dan mahabbah dalam berdakwah kepada manusia menuju kepada Allah. Ameen.
Taski ABIM Taman Matang Jaya amat bertuah kerana telah dipilih untuk terlibat dalam program Fiesta Perbankan Islam 2011 anjuran RHB Islamic Bank Berhad. Fiesta tersebut telah berlangsung selama 3 hari, iaitu bermula Jumaat, 24 Jun sehingga Ahad, 26 Jun 2011 di perkarangan RHB Islamic Bank, Jalan Satok, Kuching. Taski telah diberikan ruang untuk menghidangkan persembahan pada acara perasmian pada Jumaat dan terlibat dalam pertandingan mewarna pada Sabtu dan Ahad. Tiga guru telah mengiring 14 orang pelajar Tahfiz ABIM Taman Matang Jaya dalam persembahan perasmian. Persembahan dua nasyid bernasihat yang bertenaga telah memukau dan menghiburkan tetamu yang hadir. Berikut merupakan ingatan terakam ketika majlis:
Cikgu Tini memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak didik
“Dub dab dub dab!” Jantung berdebar-debar menjelang persembahan!
“Remaja, ingatlah masa depanmu!”
Pada hari Sabtu dan Ahad pula, para pelajar Taski bersama-sama ibu bapa terlibat dalam pertandingan mewarna di tapak Fiesta. Suasana amat meriah, dengan adik-adik masing-masing mempamerkan bakat kreatif.
Jalinan mesra antara ibu dan anak-anak
Fokus… adik-adik begitu asyik mewarna tanpa menyedari encik badut di sisinya
Warna…...
Keterlibatan anak-anak dan ibu bapa dalam program-program seumpama ini memberikan peluang untuk mempererat ikatan kasih sayang sesama ahli keluarga. Adanya aktiviti bersama akan merapatkan kebersamaan antara mereka. Terima kasih sekalung budi diucapkan kepada ibu bapa, anak-anak dan guru-guru dalam meluangkan masa sejenak bersama. Semoga ada manfaatnya bersama, insya-Allah.
Dalam ruangan 'Sebarang Komen' di blog Taski ABIM, terdapat satu pertanyaan daripada seorang ibu. Beliau bertanyakan:
Soalan: Bolehkah saya mendaftarkan anak saya yang berumur 6 tahun ke Taski ABIM pada bila-bila masa sahaja?
Jawapan: Ya, Puan boleh mendaftarkan anak Puan pada bila-bila masa sahaja. Akan tetapi, kemasukan adalah tertakluk kepada kekosongan cawangan di kawasan berhampiran. Lazimnya terdapat kekosongan pada sesi sebelah petang.
Lokasi cawangan boleh didapati di pautan ini. Seeloknya hubungi dahulu ibu pejabat Taski ABIM di talian 082 - 446217.
Ibu bapa / penjaga / guru / staf Taski / Pimpinan ABIM
Sukacita dimaklumkan bahawa satu sesi slot ceramah bersempena sambutan Isra' dan Mikraj akan disampaikan oleh Ustaz Musa bin Yahia, pengajar Tahfiz ABIM pada:
Tarikh: 29 Jun 2011 (27 Rejab 1432H), Rabu Tempat: Dewan Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon, Taski ABIM Taman Sri Wangi Masa: 3.00 petang
Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Sukaneka Taski ABIM 2011 telah diadakan dengan jayanya pada 28 Jun 2011 yang lepas. Bertempat di Stadium Majlis Bandaran Kuching Selatan (MBKS), Pending, Kuching, temasya tersebut telah dihadiri oleh lebih seribu hadirin yang terdiri daripada ibu bapa dan sahabat handai. Seramai 404 orang adik-adik pelajar Taski ABIM daripada 9 cawangan di kawasan Kuching dan Samarahan menjadi tumpuan pada hari kemuncak tersebut.
Temasya Sukaneka 2011 telah dirasmikan dengan oleh Yang Di-Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan. Beliau mengalu-alukan kehadiran terutamanya para ibu bapa yang sudi hadir dan memberikan sokongan padu kepada Taski ABIM dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka. Berikut merupakan kontinjen-kontinjen Sukaneka Taski ABIM 2011:
Taski ABIM Taman Sri Wangi
Taski ABIM Taman Matang Jaya
Taski ABIM Samariang A
Taski ABIM Samariang B
Taski ABIM Taman Petronesa 2
Taski ABIM Kpg Cemerlang
Taski ABIM Tabuan Jaya
Taski ABIM Taman Desa Ilmu
Taski ABIM Taman Samar Indah
Debaran semakin terasa. Adik-adik tampak tidak sabar lagi berentap di lorong-lorong acara. Temasya bermula dengan acara perbarisan daripada semua kontinjen cawangan Taski ABIM, dikepalai oleh Taski ABIM Taman Desa Ilmu (Samarahan).
Pembacaan Ikrar dan Doa oleh wakil Kontinjen Taski ABIM Taman Desa Ilmu
Perbarisan kontinjen amat meriah, kerana setiap kontinjen membawa imej tema dan warna yang tersendiri. Warna-warni pada pagi yang menceriakan suasana. Ada yang seperti pendekar dan hulubalang, ada seperti pari-pari bidadari, ada pula seperti rama-rama yang berterbangan di taman. Apapun, tentunya menggambarkan semangat membara yang dibakar oleh guru-guru. Telatah dan gelagat adik-adik Taski yang bersemangat, sering melucukan!
Terima kasih sekalung budi ditujukan khas terutama kepada para ibu bapa / penjaga yang sentiasa memberikan kepercayaan dan sokongan padu kepada Taski ABIM. Dengan keteguhan kita saling harmoni bahu-membahu, mudah-mudahan datangnya keberkatan Allah dengan muafakat yang tersebut untuk anak-anak kita. Tidak dilupakan juga, kepada pimpinan serta ahli ABIM, guru-guru dan staf Taski ABIM Kuching-Samarahan, juruhakim daripada Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dan semua individu yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak menjayakan temasya ini.
Yang Di-Pertua ABIM, Ustaz Hasfa Bakhry menyampaikan medal acara
Tahniah kepada adik-adik dan guru-guru Taski yang menang!
Semoga bertambah kuat jalinan antara kita, mudah-mudahan yang terbaik untuk generasi mendatang, insya-Allah...
Taski ABIM Kuching-Samarahan telah mengadakan Hari Keluarga Taski ABIM 2011 bersempena sambutan Hari Guru 2011. Program tersebut telah telah diadakan pada 21 dan 22 Mei 2011 yang lepas di Kem Alapong, Lundu. Seramai 80 orang telah terlibat dalam program tersebut. Ahli keluarga guru dan staf turut hadir sekali dalam program tersebut.
Program tersebut diadakan bagi mempereratkan ukhuwah sesama ahli keluarga Taski ABIM dan ABIM Negeri Sarawak. Pelbagai acara sukaneka telah diadakan, melibatkan anak-anak, guru dan seisi staf keluarga Taski ABIM. Selain itu juga, program tersebut adalah sebagai penghargaan terutamanya kepada para guru yang bersungguh-sungguh mendidik anak-anak murid mereka.
Acara sukaneka diadakan dengan meriah sekali. Berikut merupakan sedutan suasana aktiviti-aktiviti dalam program tersebut:
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Biro Pendidikan ABIM, En. Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin yang telah menyampaikan ucapan amanat beliau dalam majlis kemuncak pada sebelah malamnya. Beliau juga telah menyampaikan hadiah pertandingan sukaneka dan cabutan bertuah.
Akhir kata, tiada kata yang dapat diungkapkan kepada orang-orang yang berjasa mendidik kita, sehingga mendewasa hingga kini. Buat penghargaan kepada guru Taski terutamanya, bahawa guru Taski merupakan guru-guru pertama anak-anak kecil sebelum melangkah ke tingkat umur seterusnya. Bayangkan, bahawa melalui institusi pra-sekolah seperti Taski ABIM, guru-guru mendapat saham pahala sepanjang hayat. Kerana di sanalah anak-anak mula mengerti dan mengenal huruf-huruf... apatah lagi huruf-huruf kitab Allah, al-Quran.
Pada akhir entri ini, moleklah kiranya dibacakan puisi ulung yang terabadi dirakam oleh seorang pujangga agung tanah air, iaitu Sasterawan Usman Awang dengan puisi masyhur beliau... “Guru oh Guru”
Guru Oh Guru BERBURU ke padang datar Dapat rusa belang kaki Berguru kepala ajar Ibarat bunga kembang tak jadi (dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta) Dialah pemberi paling setia Tiap akar ilmu miliknya Pelita dan lampu segala Untuk manusia sebelum jadi dewasa. Dialah ibu dialah bapa juga sahabat Alur kesetiaan mengalirkan nasihat Pemimpin yang ditauliahkan segala umat Seribu tahun katanya menjadi hikmat. Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara Jika hari ini seorang ulama yang mulia Jika hari ini seorang peguam menang bicara Jika hari ini seorang penulis terkemuka Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa; Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca. Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu Dia adalah guru mewakili seribu buku; Semakin terpencil duduknya di ceruk desa Semakin bererti tugasnya kepada negara. Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku Budi yang diapungkan di dulangi ilmu Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat Menjadi kenangan ke akhir hayat. USMAN AWANG 1979
Hari Prestasi Taski ABIM Kuching-Samarahan telah diadakan pada hari ini 15 April 2011, Jumaat di seluruh cawangan. Hari Prestasi merupakan program dua kali setahun mempertemukan para ibu bapa / penjaga dan guru bagi mendengar perkembangan akademik dan akhlak anak-anak mereka di Taski.
Melalui Hari Prestasi, para ibu bapa / penjaga dapat bersua serampang dua mata mengenalpasti kelebihan dan kekurangan anak-anak, sekaligus mempertaut siratul rahim antara mereka. Guru-guru Taski yang beperanan sebagai guru kedua setelah ibu bapa / penjaga di rumah berpeluang untuk memantau perkembangan pembelajaran dan akhlak anak-anak. Mereka bertindak sebagai pelengkap dan pembantu kepada ibu bapa dalam proses pembentukan peribadi anak-anak.
Antara yang menjadi tumpuan ialah aspek akademik. Perkara ini dipandang dengan saksama, kerana anak-anak pada tahun hadapan akan bermula dengan fasa baru dalam kehidupan mereka menempuh alam persekolahan. Maka sesi ini merupakan peluang yang cukup baik untuk mempertingkatkan daya upaya menuntut ilmu serta sakhsiah yang indah.
Sambutan yang begitu menggalakkan daripada ibu bapa / penjaga amat kami hargai. Taski ABIM Kuching-Samarahan ingin mengucapkan sekalung budi atas sokongan yang tidak berbelah bagi daripada pihak ibu bapa / penjaga. Kami amat berterima kasih atas kelapangan masa, cadangan, nasihat, teguran dan perhatian kepada kalian semua.
Insya-Allah, Taski ABIM akan berusaha sedaya upaya untuk menyempurnakan perkhidmatan pendidikan yang kami tawarkan. Semoga amalan-amalan kita ini dipandang dan diterima oleh Allah S.W.T... ameen...