Showing posts with label ABIM. Show all posts
Showing posts with label ABIM. Show all posts

Tuesday, September 20, 2011

al-Fatihah...


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerima khabar sedih kembalinya Profesor Dr. Khalijah Salleh, mantan Ketua Hal Ehwal Wanita ABIM ke hadrat Allah Subahanallah Ta’ala pada jam 10:01 pagi, 17 September 2011. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Wad Warga, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Jenazah beliau ketika ini sedang diuruskan di rumah beliau di Seksyen 8, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan.

Pemergian beliau sebagai seorang tokoh akademik dan sains yang disegani serta aktivis dakwah yang komited pastinya amat dirasai oleh ABIM dan umat Islam di Malaysia. Prof Dr Khalijah juga sangat terkenal sebagai tokoh yang mempelopori bidang Sains dan Tauhidik. Kebitaraan beliau di dalam bidang ini menjadikan beliau sangat dihormati dan disegani dalam bidang kepakarannya kerana berjaya menonjolkan kaitan sains dan paksi tauhid sebagai asas memperkukuh aqidah ummat islam. Di saat beliau tenat terbaring, beliau masih gagah untuk terus berpesan agar terus mendidik generasi muda untuk terus mencintai kerja dakwah dan terus berbakti kepada masyarakat.

Sehari sebelum pemergiannya pada tanggal 16 September, wakil keluarga beliau menyampaikan penyerahan sumbangan Waqf tanah beliau untuk projek pendidikan ABIM Selangor. Sesungguhnya Prof.Khalijah telah mengajar kita erti pengorbanan dan perjuangan. Usaha memperkukuh ukhuwwah kerana Allah SWT dan agenda merealisasikan idea-idea besar untuk manfaat ummat seperti yang dipamerkan oleh Allahyarhamah mesti diteruskan oleh watak manusia berteraskan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT.

Barisan pimpinan ABIM dengan ini merakamkan ucapan takziah buat keluarga beliau dan tetaplah bersabar menerima ujian dan ketentuan Allah SWT. Marilah kita memanjatkan doa moga ruh beliau ditempatkan di kalangan mereka yang soleh. Al Fatihah.

AMIDI DATO' ABDUL MANAN
Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Sumber: Laman sawang ABIM Pusat

Sunday, July 24, 2011

Semurni Kasih Ramadhan 4: Semulia Tangan yang Memberi


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Unit Dakwah TASKI/TAHFIZ ABIM Kuching/Kota Samarahandan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) akan menganjurkan program Semurni Kasih Ramadhan 4 bertemakan Semulia Tangan yang Memberi, sepanjang bulan Syaaban dan Ramadhan 1432H (Julai-Ogos 2011). Program ini merupakan program tahunan anjuran pihak kami, dan tahun ini merupakan tahun ke tiga program ini dilaksanakan.

Pelaksanaannya sama seperti tahun-tahun sebelum ini, iaitu pihak kami mengumpul sumbangan daripada orang ramai dalam bentuk wang tunai, makanan, seperti beras, gula, minyak, biskut dan apa sahaja yang dirasakan perlu. Barang-barang yang dikumpul kesemuanya akan diserahkan kepada golongan yang memerlukan, dan tempat-tempat agihan akan ditentukan kemudian.

Justeru itu, pihak kami sangat berbesar hati memohon sumbangan daripada pihak tuan/puan dalam menjayakan program ini, dalam usaha kita meringankan beban masyarakat kurang berkemampuan di sekeliling kita. Tarikh pengumpulan barang sumbangan bermula 4 Julai 2011 sehingga 19 Ogos 2011, dan tempat pengumpulan ialah di setiap cawangan TASKI / TAHFIZ yang berdekatan dengan anda. Lokasi cawangan-cawangan tersebut boleh didapati di pautan ini.

Sebarang pertanyaan pihak tuan/puan boleh menghubungi Safiee Bin Hanapi / Puan Hajariah Senar di talian 082-446217 / 010-532 4561.

Untuk makluman anda, laporan Semurni Kasih Ramadhan 3 (1431H) pada tahun 2010 boleh didapati di sawang ABIM Negeri Sarawak di pautan ini.

Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan/puan sangatlah kami hargai dan kami dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.


Sekian.

Yang menjalankan tugas,

SAFIEE BIN HANAPI
Setiausaha Kewangan merangkap Ketua Biro Penataran
ABIM Negeri Sarawak

Majlis Hi-Tea 3G: Pertemuan 3 Generasi


Segala Puji kepada Allah Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, juga buat keluarga, sahabat-sahabat dan orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehinggalah pada Hari Kiamat kelak.

Alhamdulillah, syukur kepada-Nya, Majlis Hi-Tea 3G: Pertemuan 3 Generasi telah diadakan dengan jayanya pada 21 Syaaban 1432H / 23 Julai 2011, Sabtu di Dewan Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon, Taski ABIM Taman Sri Wangi, Kuching. Program tersebut telah menghimpunkan lebih kurang 50 orang3 generasi keluarga besar ABIM-WADAH-PERKEPIS di kalangan bonda, kaum ibu dan muslimat.

Barisan lama bersua dengan barisan baru


Ustaza Nafisah sedang berkongsi pengalaman beliau


Terima kasih sekalung budi buat hadirat yang hadir, terutama di kalangan 'orang lama' bonda-bonda WADAH, HELWA dan adik-adik HEWI PERKEPIS. Semoga pertemuan tersebut membuahkan kasih sayang dan mahabbah dalam berdakwah kepada manusia menuju kepada Allah. Ameen.

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Sunday, July 17, 2011

Majlis Hi-Tea 3G



Puan / Cik / Ustazah

Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM akan mengadakan Majlis Hit-Tea 3G iaitu pertemuan bersama 3 generasi HELWA/HEWI (ABIM-WADAH-PERKEPIS). Program tersebut akan diadakan seperti yang berikut:

Tarikh: 23 Julai 2011, Sabtu
Tempat: Dewan Ustaz Awang Pon Awang Sebon, Taski ABIM Taman Sri Wangi
Masa : 2.00 p.m - 5.00 p.m

Majlis tersebut bakal menghimpunkan generasi aktivis ABIM-WADAH-PERKEPIS, barisan guru dan staf Taski ABIM Kuching-Samarahan. Justeru HELWA dengan berbesar hati menjemput kaum wanita keluarga besar ABIM-WADAH-PERKEPIS untuk turut bersama menyertai majlis ini.



Untuk sebarang makluman dan maklum balas, boleh hubungi:
Pn. Nuraniza bt. Sulaiman (013 - 845 6472)
Cik Hamizah bt. Mokhtar (019 - 453 2754)
Sekretariat ABIM (082 - 442 617)

Sekian, terima kasih.

Wassalam

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

"Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah"

Sunday, July 3, 2011

Tamrin Taski ABIM 2011


Satu program latihan, iaitu Tamrin Taski ABIM 2011 telah diadakan dengan jayanya pada 2 sehingga 3 Julai 2011 di Taski ABIM Taman Sri Wangi, Kuching. Program tersebut diadakan untuk staf dan guru-guru wanita Taski ABIM Kuching-Samarahan. Juga, para guru Taski ABIM daerah Meradong (Bintangor) dan Sarikei hadir ke program tersebut. Turut terlibat daripada kalangan HELWA ABIM dan ahli-ahli muslimat Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS). Program tersebut bertujuan untuk mempererat ukhuwah dalam keluarga besar ABIM, memperkukuh kerohanian serta menyemak kembali kriteria penting sebagai individu yang terlibat dalam aktivisme ABIM.

Program tersebut telah diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pengisian ceramah, riadhah dan qiamullail.
Para guru, staf, HELWA dan ahli PERKEPIS semasa program.


Bawah: Aktiviti bangun beribadah waktu malam (qiamullail)


Atas: Pengurus Taski ABIM Kuching-Samarahan, Puan Hajariah bt. Senar memberikan taklimat.

Atas: Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak, Ustaz Amir Ridhwan bin Abdullah menyampaikan tazkirah beliau


Terima kasih sekalung budi buat individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak. Terutama sekali kepada para penceramah yang telah sudi meluangkan masa bersama, termasuklah Ustaz Jahidin bin Abd. Latip (Pengerusi Yayasan Madani/WADAH), Ustaz Zamri Mohamad (Timb. Pengerusi Syura ABIM) dan Yang Di-Pertua ABIM sesi 2011-12, En. Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin. Amanat dan nasihat yang disampaikan amat bermakna kepada kami semua. Semoga tamrin tersebut mengikat ukhuwah yang membuahkan semangat yang lebih marak untuk terus berbakti kepada anak-anak didik khasnya dan masyarakat amnya... ameen.


“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Wednesday, June 8, 2011

Hari Keluarga Taski ABIM 2011


Taski ABIM Kuching-Samarahan telah mengadakan Hari Keluarga Taski ABIM 2011 bersempena sambutan Hari Guru 2011. Program tersebut telah telah diadakan pada 21 dan 22 Mei 2011 yang lepas di Kem Alapong, Lundu. Seramai 80 orang telah terlibat dalam program tersebut. Ahli keluarga guru dan staf turut hadir sekali dalam program tersebut.

Program tersebut diadakan bagi mempereratkan ukhuwah sesama ahli keluarga Taski ABIM dan ABIM Negeri Sarawak. Pelbagai acara sukaneka telah diadakan, melibatkan anak-anak, guru dan seisi staf keluarga Taski ABIM. Selain itu juga, program tersebut adalah sebagai penghargaan terutamanya kepada para guru yang bersungguh-sungguh mendidik anak-anak murid mereka.

Acara sukaneka diadakan dengan meriah sekali. Berikut merupakan sedutan suasana aktiviti-aktiviti dalam program tersebut:







Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Biro Pendidikan ABIM, En. Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin yang telah menyampaikan ucapan amanat beliau dalam majlis kemuncak pada sebelah malamnya. Beliau juga telah menyampaikan hadiah pertandingan sukaneka dan cabutan bertuah.


Akhir kata, tiada kata yang dapat diungkapkan kepada orang-orang yang berjasa mendidik kita, sehingga mendewasa hingga kini. Buat penghargaan kepada guru Taski terutamanya, bahawa guru Taski merupakan guru-guru pertama anak-anak kecil sebelum melangkah ke tingkat umur seterusnya. Bayangkan, bahawa melalui institusi pra-sekolah seperti Taski ABIM, guru-guru mendapat saham pahala sepanjang hayat. Kerana di sanalah anak-anak mula mengerti dan mengenal huruf-huruf... apatah lagi huruf-huruf kitab Allah, al-Quran.


Pada akhir entri ini, moleklah kiranya dibacakan puisi ulung yang terabadi dirakam oleh seorang pujangga agung tanah air, iaitu Sasterawan Usman Awang dengan puisi masyhur beliau... “Guru oh Guru”

Guru Oh Guru
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979




Terima kasih... guruku...

“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Thursday, April 14, 2011

Kunjungan YDP ABIM Negeri Kedah ke Taski ABIM Sri Wangi


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Taski ABIM Taman Sri Wangi telah menerima kunjungan daripada Yang Di-Pertua ABIM Negeri Kedah, Ustaz Hafiz bin Mustafa Lubis pada Khamis, 14 April 2011. Beliau bertandang ke bumi Sarawak untuk mempertaut jalinan siratul rahim dalam jaringan keluarga dakwah ABIM.

Selain daripada beramah mesra menziarahi dan bertukar-tukar pandangan bersama pimpinan ABIM Negeri Sarawak, beliau telah berkesempatan melawat ibu pejabat Taski ABIM bertempat di Taman Sri Wangi.



Beliau telah bertanyakan khabar dan berkongsi akan nasihat berharga beliau. Beliau berharap dan mendoakan agar Taski ABIM terus istiqamah menjalankan tugas mereka dalam arena dakwah.



Semoga hubungan hangat siratul rahim ini sentiasa mekar dan kekal dalam suasana mahabbah sesama saudara seakidah Islam, ameen. Kita amat berbesar hati dengan kehadiran beliau dan berharap agar beliau tidak jemu bertandang ke sini lagi. Kita doakan agar beliau dan gerakan di tanah air beliau terus subur dan mendapat kemenangan daripada Allah... ameen.

“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Wednesday, March 30, 2011

Program Inspirasi Imam Muda 2011


Peka akan peri penting kekuatan umat Islam akan datang bergantung kepada belia muda, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak akan mengadakan program Inspirasi Imam Muda 2011 pada 2 sehingga 3 April 2011 ini dengan tema “Generasi Muda, Generasi Mukmin”. Butir-butir program adalah seperti yang berikut:

Tarikh : 2 – 3 April 2011
Tempat : Surau al-Falah (bersebelahan dengan Balai Bomba Samariang, Kuching)

Program ini mempunyai matlamat:
a.Mengeratkan siratulrahim sesama peserta, pihak surau & penganjur.
b.Mengajak golongan muda membuat persiapan lengkap bagi mempelajari salah satu tuntutan fardhu kifayah yang harus mereka pelajari.
c.Memberi kesedaran kepada para peserta akan kepentingan solat.
d.Memberi pendedahan mengenai cara-cara menunaikan solat dengan sempurna
e.Mengimarahkan surau/masjid, memberi kesedaran agar solat berjemaah dapat dibudayakan.

Berikut merupakan tentatif program:


Hari Pertama, 2 April 2011 (Sabtu)

8.00 pagi: Pendaftaran peserta

8.15 pagi: Taklimat peserta

9.00 pagi: Pengurusan Jenazah 1
“Sebelum Kematian & Persiapan Sejurus Kematian”
Ustaz Sabri Wahid
Pegawai Urusetia Saudara Kita, Majlis Islam Sarawak


10.00 pagi: Minum pagi

10.30 pagi: Pengurusan Jenazah 2

“Solat Jenazah & Pengebumian”
Ustaz Wan Sabri Wahid
Pegawai Urusetia Saudara Kita, Majlis Islam Sarawak


12.00 t/hari: Solat Zuhur

2.15 petang: Praktikal Pengurusan Jenazah (mandi)

3.15 petang: Praktikal Pengurusan Jenazah (Kafan & Solat)

4.15 petang: Minum petang
Solat Asar

5.15 petang: Khidmat diri

6.30 petang: Makan malam

Solat Maghrib
Bacaan zikir/ratib
Solat Isyak

8.30 malam: Kuliah Perdana

“Pemurnian ‘Aqidah Ahli Sunnah wal Jamaah dalam Amalan Ulama’ Nusantara”
Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan
Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak


10.00 malam: Minum malam
Iktikaf



Hari Kedua, 3 April 2011 (Ahad)

3.00 pagi: Qiyamullail
- Solat Sunat Tahajjud
- Solat Sunat Taubat
- Solat Sunat Tasbih
- Solat Sunat Hajat
- Solat Sunat Witir

5.30 pagi: Solat Subuh Berjemaah
Kuliah Subuh
Ustaz Muhammed ‘Afif bin Iskandar
Exco Penerangan dan Penerbitan ABIM Negeri Sarawak


7.00 pagi: Sarapan pagi

8.00 pagi: Majlis Penangguhan
Doa Wehdah

Pembinaan potensi manusia melalui latihan-latihan tertentu adalah suatu ketetapan yang ditunjukkan oleh Allah S.W.T. Ini kerana manusia punyai potensi yang padanya terdapat akal, jasad dan roh. Jikalau peningkatan akal dan jasad memerlukan latihan dan bimbingan tertentu, maka pengingkatan dalam aspek roh dan hati adalah lebih rumit dan halus.



Justeru, amat tinggilah harapan kita, semoga program ini dapat berjalan dengan lancar dan segala objektif dapat dicapai. Semoga kita sentiasa dilindungi dan dirahmati oleh Allah S.W.T... ameen...


Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah

Sunday, January 23, 2011

Kunjungan Exco ABIM ke Taski ABIM


Alhamdulillah pada Ahad, 18 Safar 1432H / 23 Februari 2011 yang lalu, Taski ABIM Kuching/Samarahan dan pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak telah menerima kunjungan mahabbah daripada Exco Kaderisasi ABIM Pusat, Ustaz Hj Abd Razak Aripin. Beliau juga merupakan Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Johor. Dalam rangka beliau terlibat dalam program pengislaman bersama Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sarawak, beliau mengambil kesempatan untuk mengunjungi ABIM Negeri Sarawak sebelum berangkat pulang.


Pertemuan telah diadakan pada 3.30 petang di Dewan Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon, Taski ABIM. Dalam pertemuan tersebut, pimpinan ABIM dan staf Taski ABIM telah bertukar-tukar pandangan mengenai arena pentas dakwah.

Ketua Biro Pendidikan, En. Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin merangkap Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak juga turut berkongsi mengenai perkembangan dakwah kepada masyarakat melalui Taski.



Semoga pertemuan tersebut menimbulkan mahabbah di kalangan hadirin. Diharapkan, agar pertemuan tersebut mendapat redha Allah dan menjadi pembakar semangat agar terus istiqamah meniti cabaran membimbing masyarakat kepada Allah. Ameen.