Showing posts with label Dakwah. Show all posts
Showing posts with label Dakwah. Show all posts

Sunday, August 7, 2011

Destinasi Pertama Semurni Kasih Ramadhan 4


ABIM Negeri Sarawak bersama Unit Dakwah Taski ABIM Kuching-Samarahan bersama Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) sedang menganjurkan program Semurni Kasih Ramadhan 4 dalam Ramadhan 1432H ini. Program ini menyahut seruan Sang Kekasih kita, Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, iaitu membanyakkan menghulurkan sedekah. Sabda baginda:

Daripada Anas radiallahu ‘anhu, Nabi sallallahu alaihi wasallam ditanya,“Apakah sedekah yang paling utama?” Jawab baginda s.a.w, “Sedekah yang dilakukan dalam bulan Ramadhan.”(Hadith Riwayat Imam Tarmizi)


Berikut merupakan destinasi awal projek ini:

Tarikh: 9 Ramadhan 1432H / 9 Ogos 2011, Selasa
Tempat: Kpg. Sinar Budi Baru, Batu Kawa, Kuching
Masa: 9.00 pagi
Penerima: 20 keluarga terpilih

Tarikh: 10 Ramadhan 1432H / 10 Ogos 2011, Rabu
Tempat: SK Samariang Batu, Samariang, Kuching
Masa: 7.00 pagi
Penerima: 5 pelajar terpilih

Marilah kita beramai-ramai hadir memberikan sokongan program ini. Marilah kita menggolongkan diri kita sebagai insan-insan yang peduli akan sabda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam dalam mengejar satu lagi kelebihan Ramadhan:

“Barangsiapa yang memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, maka baginya pahala yang seperti orang yang berpuasa tersebut tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa tersebut sedikit pun.” (Hadis Tirmidzi, Ahmad & An-Nasa’i)



Sekian, wassalam.

"Memacu Wawasan Khayra Ummah"

Sunday, July 24, 2011

Semurni Kasih Ramadhan 4: Semulia Tangan yang Memberi


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Unit Dakwah TASKI/TAHFIZ ABIM Kuching/Kota Samarahandan Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) akan menganjurkan program Semurni Kasih Ramadhan 4 bertemakan Semulia Tangan yang Memberi, sepanjang bulan Syaaban dan Ramadhan 1432H (Julai-Ogos 2011). Program ini merupakan program tahunan anjuran pihak kami, dan tahun ini merupakan tahun ke tiga program ini dilaksanakan.

Pelaksanaannya sama seperti tahun-tahun sebelum ini, iaitu pihak kami mengumpul sumbangan daripada orang ramai dalam bentuk wang tunai, makanan, seperti beras, gula, minyak, biskut dan apa sahaja yang dirasakan perlu. Barang-barang yang dikumpul kesemuanya akan diserahkan kepada golongan yang memerlukan, dan tempat-tempat agihan akan ditentukan kemudian.

Justeru itu, pihak kami sangat berbesar hati memohon sumbangan daripada pihak tuan/puan dalam menjayakan program ini, dalam usaha kita meringankan beban masyarakat kurang berkemampuan di sekeliling kita. Tarikh pengumpulan barang sumbangan bermula 4 Julai 2011 sehingga 19 Ogos 2011, dan tempat pengumpulan ialah di setiap cawangan TASKI / TAHFIZ yang berdekatan dengan anda. Lokasi cawangan-cawangan tersebut boleh didapati di pautan ini.

Sebarang pertanyaan pihak tuan/puan boleh menghubungi Safiee Bin Hanapi / Puan Hajariah Senar di talian 082-446217 / 010-532 4561.

Untuk makluman anda, laporan Semurni Kasih Ramadhan 3 (1431H) pada tahun 2010 boleh didapati di sawang ABIM Negeri Sarawak di pautan ini.

Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan/puan sangatlah kami hargai dan kami dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.


Sekian.

Yang menjalankan tugas,

SAFIEE BIN HANAPI
Setiausaha Kewangan merangkap Ketua Biro Penataran
ABIM Negeri Sarawak

Tuesday, July 5, 2011

Semurni Kasih Ramadhan 4: Semulia Tangan yang Memberi


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Unit Dakwah TASKI/TAHFIZ ABIM Kuching/Kota Samarahan akan menganjurkan program Semurni Kasih Ramadhan 4 bertemakan Semulia Tangan yang Memberi, sepanjang bulan Syaaban dan Ramadhan 1432H (Julai-Ogos 2011). Program ini merupakan program tahunan anjuran pihak kami, dan tahun ini merupakan tahun ke tiga program ini dilaksanakan.

Pelaksanaannya sama seperti tahun-tahun sebelum ini, iaitu pihak kami mengumpul sumbangan daripada orang ramai dalam bentuk wang tunai, makanan, seperti beras, gula, minyak, biskut dan apa sahaja yang dirasakan perlu. Barang-barang yang dikumpul kesemuanya akan diserahkan kepada golongan yang memerlukan, dan tempat-tempat agihan akan ditentukan kemudian.

Justeru itu, pihak kami sangat berbesar hati memohon sumbangan daripada pihak tuan/puan dalam menjayakan program ini, dalam usaha kita meringankan beban masyarakat kurang berkemampuan di sekeliling kita. Tarikh pengumpulan barang sumbangan bermula 4 Julai 2011 sehingga 19 Ogos 2011, dan tempat pengumpulan ialah di setiap cawangan TASKI / TAHFIZ yang berdekatan dengan anda. Sebarang pertanyaan pihak tuan/puan boleh menghubungi Safiee Bin Hanapi / Puan Hajariah Senar di talian 082-446217 / 010-532 4561.

Untuk makluman anda, laporan Semurni Kasih Ramadhan 3 (1431H) pada tahun 2010 boleh didapati di sawang ABIM Negeri Sarawak di pautan ini.

Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan/puan sangatlah kami hargai dan kami dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.


Sekian.

Yang menjalankan tugas,

SAFIEE BIN HANAPI
Setiausaha Kewangan merangkap Ketua Biro Penataran
ABIM Negeri Sarawak

Friday, April 29, 2011

Seminar Memperingati Sayyidatina Khadijah al-Kubra


Sayyidatina Khadijah al-Kubra merupakan figur wanita yang amat penting dalam Islam. Beliaulah teman setia dan kekasih ulung yang telah mendampingi sang penutup segala Nabi dan Rasul, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Beliaulah manusia yang pertama yang beriman kepada Allah dan Rasul, pendamping usaha dakwah baginda, melahirkan zuriat yang mulia, mengorbankan harta jiwa dan raganya demi menegakkan kalimah Allah.

Seminar Memperingati Sayyidatina Khadijah al-Kubra dianjurkan pada 7-8 Mei 2011, bertempat di Auditorium Yayasan Sarawak, Jalan Sultan Tengah.

Pastinya akan mengenali ketokohan beliau dengan lebih dekat. Dibarisi oleh panel-panel yang mempunyai ilmu yang cukup mendalam akan peribadi dan peranan Sayyidatina Khadijah akan membentangkan kertas kerja mereka kelak. Diharapkan kelak dapatlah menurut jejak langkah beliau dan seterusnya dijadikan sebagai formula terbaik dalam kehidupan.

Aturcara seminar adalah seperti yang berikut. Sila klik untuk melihat gambaran yang jelas.



Seminar ini terbuka kepada umum, namun terhad kepada penyertaan 300 orang peserta sahaja. Sila hubungi individu tersebut untuk pendaftaran:

013 - 845 6472 (Pn. Niza)
019 - 826 1644 (Pn. Ayu)
019 - 613 6759 (Pn. Aminah)


Sila klik kepada poster seminar untuk mendapatkan makluman lanjut. Anda boleh juga boleh mengikuti perkembangan mengenai seminar berkenaan di blog khas, di pautan ini.

Semoga usaha yang kecil ini menjadi sebahagian dalam khidmat kita kepada Rasulullah sallallahua alaihi wasallam, kita mohon agar tergolong dalam senarai orang-orang yang mendapat syafaat baginda sallallahu alaihi wasallam... ameen.


"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Thursday, April 14, 2011

Kunjungan YDP ABIM Negeri Kedah ke Taski ABIM Sri Wangi


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Taski ABIM Taman Sri Wangi telah menerima kunjungan daripada Yang Di-Pertua ABIM Negeri Kedah, Ustaz Hafiz bin Mustafa Lubis pada Khamis, 14 April 2011. Beliau bertandang ke bumi Sarawak untuk mempertaut jalinan siratul rahim dalam jaringan keluarga dakwah ABIM.

Selain daripada beramah mesra menziarahi dan bertukar-tukar pandangan bersama pimpinan ABIM Negeri Sarawak, beliau telah berkesempatan melawat ibu pejabat Taski ABIM bertempat di Taman Sri Wangi.



Beliau telah bertanyakan khabar dan berkongsi akan nasihat berharga beliau. Beliau berharap dan mendoakan agar Taski ABIM terus istiqamah menjalankan tugas mereka dalam arena dakwah.



Semoga hubungan hangat siratul rahim ini sentiasa mekar dan kekal dalam suasana mahabbah sesama saudara seakidah Islam, ameen. Kita amat berbesar hati dengan kehadiran beliau dan berharap agar beliau tidak jemu bertandang ke sini lagi. Kita doakan agar beliau dan gerakan di tanah air beliau terus subur dan mendapat kemenangan daripada Allah... ameen.

“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Monday, April 4, 2011

Lawatan Kasih Seri Kenangan

Laporan

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, menyambung kesinambungan Taski ABIM Kuching-Samarahan untuk berbakti kepada masyarakat melalui program Corporate Social Responsibility (CSR), Taski ABIM telah mengadakan Lawatan Kasih ke Rumah Seri Kenangan di Batu 12, Jalan Kuching-Serian pada Isnin, 4 April 2011. Rumah tersebut merupakan tempat berlindung, berteduh dan bergantung bagi orang-orang tua meneruskan kehidupan mereka pada usia senja.


Seramai sembilan orang daripada staf pengurusan dan guru Taski ABIM telah terlibat dalam program ini. Ahli rombongan telah dikepalai oleh En. Safiee bin Hanapi, Penyelia Sumber Manusia Taski. Lawatan tersebut telah mempertemukan ahli rombongan bersama kira-kira 82 orang warga emas yang telah menetap di rumah tersebut.

Begitu menyayat hati melihat keadaan para ibu dan ayah yang kesunyian. Mereka kesunyian akan perhatian dan belaian anak-anak, sanak saudara malahan cucu mereka. Ada yang terlantar, ada yang sihat berjalan-jalan terbongkok-bongok, malah ramai yang termenung jauh mengenang nasib hidup. Mengapalah mereka dihantar oleh sanak saudara, bahkan oleh darah daging mereka dan sendirian menghadapi penghujung nyawa? Hanya Tuhan yang tahu.




Kehadiran rombongan sedikit sebanyak telah menceriakan hari yang suram. Tidak kurang juga yang menegur berbual mesra. Ada yang mengadu akan gencar kehidupan yang mereka lalui. Lebih memilukan, ada yang sudah berteduh di sana selama 17 tahun! Na'uzubillahi min zaa lik! Semoga Allah menjauhkan kita daripada bersifat demikian! Sayunya suasana, sehinggakan ada yang tidak tertahan menitiskan air mata.


Mari kita renungkan akan tuntutan dalam agama Islam yang menganjurkan agar anak-anak berbuat baik kepada orang tua mereka:

“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang tuamu. Hanya kepada-Kulah kembalimu." (Surah Luqman, 31:14)

“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.”Hadis Riwayat Muslim


Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari


Lawatan tersebut amat menginsafkan. Sekali gus, diperlihatkan bagaimana segolongan manusia yang gersang hati budi membalas jasa ibu bapa dalam keadaan sedemikian sekali. Kita amat sesal akan sikap dan perbuatan tersebut. Kita juga risau, sikap seperti ini semakin menular dengan bertambahnya bilangan warga emas di rumah ini, rata-ratanya ditinggalkan begitu sahaja. Dalam Islam, Allah telah meletakkan dosa menderhaka kepada ibu bapa dalam kategori dosa-dosa yang besar.

Selagi hayat mereka dikandung badan, selagi itulah tuntutan menjaga dan memelihara orang tua kita masih lagi terpikul di bahu kita. Ingatlah, walau segala cara pun kita berusaha membalas jasa mereka, tidak akan terbalas, walau ditebus dengan gunung emas dan perak sekalipun...



Terima kasih kepada Rumah Seri Kenangan atas kesudian menerima kunjungan Taski ABIM Kuching-Samarahan. Insya-Allah dalam ruang dan kesempatan yang mendatang, akan ada program-program susulan suatu hari kelak. Semoga benih-benih bakti yang ditanam di dunia ini akan tumbuh mekar dan berbunga di taman-taman syurga kelak, insya-Allah...

“Ting! Ting!” Loceng diketuk kuat oleh pegawai rumah, masa makan tengahari sudah tiba. Impian mereka ada cucu yang manja memanggil dan memimpin mereka ke meja makan. Namun kali ini mereka harus berjalan perlahan-lahan memegang pinggang yang sudah lama lenguh, tiada siapa yang pedulikan.

Dengan hati yang lara, ahli rombongan pergi beredar meninggalkan Rumah Seri Kenangan....

Ya Allah, jadikanlah kami Hamba-Mu yang bersyukur!
Ya Allah, ampunilah dosa kedua-dua ibu bapa kami,
Sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami kecil!
Ya Allah, jadikan kami,
Anak-anak yang berbakti buat orang tua kami,
Sebelum masanya tiba, ya Allah!




“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Sunday, April 3, 2011

Inspirasi Imam Muda 2011

Laporan Program

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, program Inspirasi Imam Muda 2011 telah dianjurkan dengan jayanya pada 2 sehingga 3 April 2011 yang lepas. Program tersebut merupakan anjuran bersama Biro Dakwah dan Tarbiyyah ABIM Sarawak, Unit Dakwah Taski ABIM Kuching/Samarahan dan Jawatankuasa Surau Darul Falah, Semariang (Belakang Bomba).

Progrm tersebut merupakan salah satu agenda dakwah ABIM Negeri Sarawak untuk masyarakat. Seramai 82 orang peserta di kalangan penduduk Kampung Hj Gobil telah menyertai program ini. Program 2 hari semalam tersebut menekankan kepada ceramah dan praktikal Pengurusan Jenazah yang disampaikan oleh Ustaz Sabri Wahid, pegawai agama daripada Urusetia Saudara Kita, Majlis Islam Sarawak.

Selain itu, terdapat juga slot perkongsian peranan ABIM dalam masyarakat, pengisian berbentuk Kuliah-kuliah dan kerohaniaan melalui Qiamullail.



Terima kasih sekalung budi buat individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak dalam program ini. Taski AIM Kuching-Samarahan sebagai sebuah badan yang menyediakan perkhidmatan pendidikan juga dalam masa yang sama menawarkan perkhidmatan kebajikan dengan istilah Corporate Social Responsibility (CSR) dakwah kepada masyarakat. Perkhidmatan ini disumbangkan oleh kalangan staf dan guru-guru Taski ABIM. Taski ABIM akan terus komited berbakti kepada masyarakat melalui program-program CSR yang telah dirancang pada masa-masa akan datang.

Semoga Allah menerima sekelumit amal ini, dan menjadi asbab akan rahmat-Nya akan ganjaran syurga pada suatu hari kelak... ameen.

"Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah"

Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah

Tuesday, February 15, 2011

Perarakan Maulidur Rasul 1432H, Masjid Matang Jaya


“Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisiku pada Hari Kiamat ialah yang paling banyak mengucapkan selawat atasku.” (Hadith Riwayat Imam at-Tirmizi)

Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1432H, kontinjen Taski ABIM Taman Matang Jaya telah terlibat dalam perarakan yang dianjurkan oleh Masjid Matang Jaya. Perarakan tersebut telah disertai oleh kira-kira 20 orang para guru dan pelajar Taski dan Tahfiz Taski ABIM cawangan tersebut.

Kontinjen Taski telah berarak bersama kontinjen lain di sekitar Taman Matang Jaya sambil sentiasa mengalunkan selawat atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Daripada Hassan bin Ali berkata, baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam telah bersabda:

“Di mana sahaja kalian berada, ucapkanlah selawat atasku. Sesungguhnya selawat kalian itu akan sampai kepadaku.” (Hadith Riwayat al-Tabrani)



Daripada Abu Darda’ radiallahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallallahu alaihi wasallam bersabda:

“Barangsiapa mengucapkan selawat atasku pada waktu pagi sebanyak 10 kali, nescaya dia akan memperolehi syafaatku pada Hari Kiamat.” (Hadith Riwayat al-Tabrani)


Tidak ketinggalan, pelajar Taski dan Tahfiz turut dijemput untuk mengadakan persembahan nasyid dan sajak memperingati Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.



Semoga dengan keberkatan kelahiran dan pengutusan Rasul Junjungan, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam menjadi sinar cahaya harapan untuk masa depan umat. Mudah-mudahan dengan keberkatan bulan Rabiul Awal yang mulia ini akan menyatukan rasa persaudaraan umat Islam serta diberikan kekuatan untuk teguh menjalankan tugas umatnya menjadi sebaik-baik umat.

"Tidak Kami utus engkau (wahai Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam) melainkan sebagai rahmat seluruh alam." (Surah al-Anbiya', 21:107)



"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Ceramah Maulidur Rasul di Surau Darul Makmur, Kpg Baru, Sebuyau


“Tidak Kami utus engkau (wahai Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam) melainkan sebagai rahamt ke serata alam.” (Surah al-Anbiya’, 21: 107)


Dengan izin Allah, Taski ABIM Kuching-Samarahan dengan kerjasama Surau Darul Makmur, Kpg. Baru, Sebuyau telah mengadakan Ceramah Maulidur Rasul 1432H pada 12 Rabiul Awal 1432H / 14 Februari 2011 bertempat di Surau Darul Makmur, Kpg. Baru, Sebuyau. Seramai kira-kira 80 hadirin dan hadirat penduduk kampung telah hadir ke majlis ini. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Syed Abd. Hamid bin Wan Yusuf, seorang graduan Unviersiti Malaya dan juga seorang penuntut Madrasah al-Khairat, Kuching. Beliau kini dalam tempoh persediaan untuk melangkahkan kaki ke Madrasah Huraidhah, Yaman.






Majlis telah dimulai dengan bacaan zikir Ratib al-Attas dan Asma’ul Husna, kemudiannya disambung dengan ceramah yang berlangsung hampir 2 jam.

Penceramah telah menyampaikan ceramah yang bertajuk Rasulullah s.a.w: Tauladan Sepanjang Zaman. Berpandukan kitab yang menghuraikan peribadi Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam iaitu Syama’il Muhammadiyah karanngan Imam at-Tirmizi, beliau telah mengajak hadirin dan hadirat agar sentiasa berusaha mencontohi keperibadian Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.

Beliau juga mengajak agar hadirin mengambil berat akan perihal soal ilmu agama yang begitu penting dalam hidup ini. Hidup bertujuan iaitu mengenal Allah, Tuhan sekalian alam dengan tatacara yang telah disuluh oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Hanya dengan ilmu sahajalah manusia terlepas daripada ikatan kejahilan dan belenggu kegelapan kelalaian. Jika kita tidak berkira akan hal dunia, masakan begitu kita tidak hiraukan kehidupan sebenar suatu hari kelak, iaitu Hari Akhirat.

Taski ABIM Kuching-Samarahan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli jawatankuasa Surau Darul Makmur atas kesudian mengadakan program seumpama ini. Semoga kerjasama ini berkekalan dengan wujudnya program-program susulan yang membantu menyebarkan dan mengukuhkan kefahaman Islam di hati masyarakat. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa dan budi baik kalian.

Marilah kita membanyakkan selawat atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Semoga Baginda sallallahu alaihi wasallam sentiasa dilimpah kesejahteraan yang berkekalan. Ameen.

Kita sudahi dengan sepotong hadith daripada kitab Fadhilat Selawat karangan Syeikh Abu al Fadhl Abdullah ibn Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani:

Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Nasaie dan ibnu Majah:

“Hari kamu yang paling afdal ialah pada hari Jumaat. Pada hari itu, diciptakan Nabi Adam dan pada hari itu juga nyawanya dicabut. Pada hari Jumaat juga, berlaku tiupan sangkakala dan Kiamat. Maka banyakkanlah ucapan selawat atasku pada hari itu kerana selawat kalian akan dihadapkan kepadaku.

Para sahabat bertanya, ‘Bagaimanakah selawat kami dipersembahkan kepada kamu, sedang kamu telah binasa? Mereka memaksudkan sebagai bianasa dimamah tanah.
Maka Baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam menjawab, ‘Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi daripada memakan jasad-jasad para nabi.’”



“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”