“Tidak Kami utus engkau (wahai Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam) melainkan sebagai rahamt ke serata alam.” (Surah al-Anbiya’, 21: 107)
Dengan izin Allah, Taski ABIM Kuching-Samarahan dengan kerjasama Surau Darul Makmur, Kpg. Baru, Sebuyau telah mengadakan Ceramah Maulidur Rasul 1432H pada 12 Rabiul Awal 1432H / 14 Februari 2011 bertempat di Surau Darul Makmur, Kpg. Baru, Sebuyau. Seramai kira-kira 80 hadirin dan hadirat penduduk kampung telah hadir ke majlis ini. Ceramah telah disampaikan oleh Ustaz Syed Abd. Hamid bin Wan Yusuf, seorang graduan Unviersiti Malaya dan juga seorang penuntut Madrasah al-Khairat, Kuching. Beliau kini dalam tempoh persediaan untuk melangkahkan kaki ke Madrasah Huraidhah, Yaman.
Majlis telah dimulai dengan bacaan zikir Ratib al-Attas dan Asma’ul Husna, kemudiannya disambung dengan ceramah yang berlangsung hampir 2 jam.
Penceramah telah menyampaikan ceramah yang bertajuk Rasulullah s.a.w: Tauladan Sepanjang Zaman. Berpandukan kitab yang menghuraikan peribadi Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam iaitu Syama’il Muhammadiyah karanngan Imam at-Tirmizi, beliau telah mengajak hadirin dan hadirat agar sentiasa berusaha mencontohi keperibadian Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam.
Beliau juga mengajak agar hadirin mengambil berat akan perihal soal ilmu agama yang begitu penting dalam hidup ini. Hidup bertujuan iaitu mengenal Allah, Tuhan sekalian alam dengan tatacara yang telah disuluh oleh Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Hanya dengan ilmu sahajalah manusia terlepas daripada ikatan kejahilan dan belenggu kegelapan kelalaian. Jika kita tidak berkira akan hal dunia, masakan begitu kita tidak hiraukan kehidupan sebenar suatu hari kelak, iaitu Hari Akhirat.
Taski ABIM Kuching-Samarahan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada ahli jawatankuasa Surau Darul Makmur atas kesudian mengadakan program seumpama ini. Semoga kerjasama ini berkekalan dengan wujudnya program-program susulan yang membantu menyebarkan dan mengukuhkan kefahaman Islam di hati masyarakat. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa dan budi baik kalian.
Marilah kita membanyakkan selawat atas Junjungan Mulia, Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Semoga Baginda sallallahu alaihi wasallam sentiasa dilimpah kesejahteraan yang berkekalan. Ameen.
Kita sudahi dengan sepotong hadith daripada kitab Fadhilat Selawat karangan Syeikh Abu al Fadhl Abdullah ibn Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani:
Diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Nasaie dan ibnu Majah:
“Hari kamu yang paling afdal ialah pada hari Jumaat. Pada hari itu, diciptakan Nabi Adam dan pada hari itu juga nyawanya dicabut. Pada hari Jumaat juga, berlaku tiupan sangkakala dan Kiamat. Maka banyakkanlah ucapan selawat atasku pada hari itu kerana selawat kalian akan dihadapkan kepadaku.
Para sahabat bertanya, ‘Bagaimanakah selawat kami dipersembahkan kepada kamu, sedang kamu telah binasa? Mereka memaksudkan sebagai bianasa dimamah tanah.
Maka Baginda Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam menjawab, ‘Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi daripada memakan jasad-jasad para nabi.’”
“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”
No comments:
Post a Comment