Alhamdulillah, syukur kepada Allah, menyambung kesinambungan Taski ABIM Kuching-Samarahan untuk berbakti kepada masyarakat melalui program Corporate Social Responsibility (CSR), Taski ABIM telah mengadakan Lawatan Kasih ke Rumah Seri Kenangan di Batu 12, Jalan Kuching-Serian pada Isnin, 4 April 2011. Rumah tersebut merupakan tempat berlindung, berteduh dan bergantung bagi orang-orang tua meneruskan kehidupan mereka pada usia senja.
Seramai sembilan orang daripada staf pengurusan dan guru Taski ABIM telah terlibat dalam program ini. Ahli rombongan telah dikepalai oleh En. Safiee bin Hanapi, Penyelia Sumber Manusia Taski. Lawatan tersebut telah mempertemukan ahli rombongan bersama kira-kira 82 orang warga emas yang telah menetap di rumah tersebut.
Begitu menyayat hati melihat keadaan para ibu dan ayah yang kesunyian. Mereka kesunyian akan perhatian dan belaian anak-anak, sanak saudara malahan cucu mereka. Ada yang terlantar, ada yang sihat berjalan-jalan terbongkok-bongok, malah ramai yang termenung jauh mengenang nasib hidup. Mengapalah mereka dihantar oleh sanak saudara, bahkan oleh darah daging mereka dan sendirian menghadapi penghujung nyawa? Hanya Tuhan yang tahu.
Kehadiran rombongan sedikit sebanyak telah menceriakan hari yang suram. Tidak kurang juga yang menegur berbual mesra. Ada yang mengadu akan gencar kehidupan yang mereka lalui. Lebih memilukan, ada yang sudah berteduh di sana selama 17 tahun! Na'uzubillahi min zaa lik! Semoga Allah menjauhkan kita daripada bersifat demikian! Sayunya suasana, sehinggakan ada yang tidak tertahan menitiskan air mata.
Mari kita renungkan akan tuntutan dalam agama Islam yang menganjurkan agar anak-anak berbuat baik kepada orang tua mereka:
“Dan Kami perintahkan kepada manusia (berbuat baik) kepada dua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada dua orang tuamu. Hanya kepada-Kulah kembalimu." (Surah Luqman, 31:14)
“Sungguh hina, sungguh hina, sungguh hina!” Baginda ditanya: “Siapakah wahai Rasulullah (yang hina itu)?” Baginda menjawab: “Orang yang mendapati orang tuanya dalam keadaan tua, sama ada salah seorang atau kedua-duanya, kemudian dia tidak memasuki syurga.” – Hadis Riwayat Muslim
Nabi s.a.w. pernah bertanya kepada para sahabat sebanyak tiga kali: “Mahukah aku memberitahu kalian tentang dosa yang paling besar?” Maka mereka (para sahabat) pun menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah.” Baginda menjelaskan: “Syirik kepada Allah, derhaka kepada ibubapa (perawi menerangkan bahawa baginda ketika itu duduk sambil bersandar, lalu menyambung) dan sumpah yang palsu.” – Hadis riwayat Imam al-Bukhari
Lawatan tersebut amat menginsafkan. Sekali gus, diperlihatkan bagaimana segolongan manusia yang gersang hati budi membalas jasa ibu bapa dalam keadaan sedemikian sekali. Kita amat sesal akan sikap dan perbuatan tersebut. Kita juga risau, sikap seperti ini semakin menular dengan bertambahnya bilangan warga emas di rumah ini, rata-ratanya ditinggalkan begitu sahaja. Dalam Islam, Allah telah meletakkan dosa menderhaka kepada ibu bapa dalam kategori dosa-dosa yang besar.
Selagi hayat mereka dikandung badan, selagi itulah tuntutan menjaga dan memelihara orang tua kita masih lagi terpikul di bahu kita. Ingatlah, walau segala cara pun kita berusaha membalas jasa mereka, tidak akan terbalas, walau ditebus dengan gunung emas dan perak sekalipun...
Terima kasih kepada Rumah Seri Kenangan atas kesudian menerima kunjungan Taski ABIM Kuching-Samarahan. Insya-Allah dalam ruang dan kesempatan yang mendatang, akan ada program-program susulan suatu hari kelak. Semoga benih-benih bakti yang ditanam di dunia ini akan tumbuh mekar dan berbunga di taman-taman syurga kelak, insya-Allah...
“Ting! Ting!” Loceng diketuk kuat oleh pegawai rumah, masa makan tengahari sudah tiba. Impian mereka ada cucu yang manja memanggil dan memimpin mereka ke meja makan. Namun kali ini mereka harus berjalan perlahan-lahan memegang pinggang yang sudah lama lenguh, tiada siapa yang pedulikan.
Dengan hati yang lara, ahli rombongan pergi beredar meninggalkan Rumah Seri Kenangan....
Ya Allah, jadikanlah kami Hamba-Mu yang bersyukur!
Ya Allah, ampunilah dosa kedua-dua ibu bapa kami,
Sebagaimana mereka mengasihani kami ketika kami kecil!
Ya Allah, jadikan kami,
Anak-anak yang berbakti buat orang tua kami,
Sebelum masanya tiba, ya Allah!
“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”
No comments:
Post a Comment