Showing posts with label Program. Show all posts
Showing posts with label Program. Show all posts

Sunday, July 17, 2011

Majlis Hi-Tea 3G



Puan / Cik / Ustazah

Hal Ehwal Wanita (HELWA) ABIM akan mengadakan Majlis Hit-Tea 3G iaitu pertemuan bersama 3 generasi HELWA/HEWI (ABIM-WADAH-PERKEPIS). Program tersebut akan diadakan seperti yang berikut:

Tarikh: 23 Julai 2011, Sabtu
Tempat: Dewan Ustaz Awang Pon Awang Sebon, Taski ABIM Taman Sri Wangi
Masa : 2.00 p.m - 5.00 p.m

Majlis tersebut bakal menghimpunkan generasi aktivis ABIM-WADAH-PERKEPIS, barisan guru dan staf Taski ABIM Kuching-Samarahan. Justeru HELWA dengan berbesar hati menjemput kaum wanita keluarga besar ABIM-WADAH-PERKEPIS untuk turut bersama menyertai majlis ini.



Untuk sebarang makluman dan maklum balas, boleh hubungi:
Pn. Nuraniza bt. Sulaiman (013 - 845 6472)
Cik Hamizah bt. Mokhtar (019 - 453 2754)
Sekretariat ABIM (082 - 442 617)

Sekian, terima kasih.

Wassalam

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

"Membina dan Memimpin Tamadun Khayra Ummah"

Tuesday, July 5, 2011

Semurni Kasih Ramadhan 4: Semulia Tangan yang Memberi


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak dengan kerjasama Unit Dakwah TASKI/TAHFIZ ABIM Kuching/Kota Samarahan akan menganjurkan program Semurni Kasih Ramadhan 4 bertemakan Semulia Tangan yang Memberi, sepanjang bulan Syaaban dan Ramadhan 1432H (Julai-Ogos 2011). Program ini merupakan program tahunan anjuran pihak kami, dan tahun ini merupakan tahun ke tiga program ini dilaksanakan.

Pelaksanaannya sama seperti tahun-tahun sebelum ini, iaitu pihak kami mengumpul sumbangan daripada orang ramai dalam bentuk wang tunai, makanan, seperti beras, gula, minyak, biskut dan apa sahaja yang dirasakan perlu. Barang-barang yang dikumpul kesemuanya akan diserahkan kepada golongan yang memerlukan, dan tempat-tempat agihan akan ditentukan kemudian.

Justeru itu, pihak kami sangat berbesar hati memohon sumbangan daripada pihak tuan/puan dalam menjayakan program ini, dalam usaha kita meringankan beban masyarakat kurang berkemampuan di sekeliling kita. Tarikh pengumpulan barang sumbangan bermula 4 Julai 2011 sehingga 19 Ogos 2011, dan tempat pengumpulan ialah di setiap cawangan TASKI / TAHFIZ yang berdekatan dengan anda. Sebarang pertanyaan pihak tuan/puan boleh menghubungi Safiee Bin Hanapi / Puan Hajariah Senar di talian 082-446217 / 010-532 4561.

Untuk makluman anda, laporan Semurni Kasih Ramadhan 3 (1431H) pada tahun 2010 boleh didapati di sawang ABIM Negeri Sarawak di pautan ini.

Kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan/puan sangatlah kami hargai dan kami dahulukan dengan ucapan jutaan terima kasih.


Sekian.

Yang menjalankan tugas,

SAFIEE BIN HANAPI
Setiausaha Kewangan merangkap Ketua Biro Penataran
ABIM Negeri Sarawak

Sunday, July 3, 2011

Tamrin Taski ABIM 2011


Satu program latihan, iaitu Tamrin Taski ABIM 2011 telah diadakan dengan jayanya pada 2 sehingga 3 Julai 2011 di Taski ABIM Taman Sri Wangi, Kuching. Program tersebut diadakan untuk staf dan guru-guru wanita Taski ABIM Kuching-Samarahan. Juga, para guru Taski ABIM daerah Meradong (Bintangor) dan Sarikei hadir ke program tersebut. Turut terlibat daripada kalangan HELWA ABIM dan ahli-ahli muslimat Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS). Program tersebut bertujuan untuk mempererat ukhuwah dalam keluarga besar ABIM, memperkukuh kerohanian serta menyemak kembali kriteria penting sebagai individu yang terlibat dalam aktivisme ABIM.

Program tersebut telah diisi dengan pelbagai aktiviti seperti pengisian ceramah, riadhah dan qiamullail.
Para guru, staf, HELWA dan ahli PERKEPIS semasa program.


Bawah: Aktiviti bangun beribadah waktu malam (qiamullail)


Atas: Pengurus Taski ABIM Kuching-Samarahan, Puan Hajariah bt. Senar memberikan taklimat.

Atas: Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Negeri Sarawak, Ustaz Amir Ridhwan bin Abdullah menyampaikan tazkirah beliau


Terima kasih sekalung budi buat individu yang terlibat secara langsung mahupun tidak. Terutama sekali kepada para penceramah yang telah sudi meluangkan masa bersama, termasuklah Ustaz Jahidin bin Abd. Latip (Pengerusi Yayasan Madani/WADAH), Ustaz Zamri Mohamad (Timb. Pengerusi Syura ABIM) dan Yang Di-Pertua ABIM sesi 2011-12, En. Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin. Amanat dan nasihat yang disampaikan amat bermakna kepada kami semua. Semoga tamrin tersebut mengikat ukhuwah yang membuahkan semangat yang lebih marak untuk terus berbakti kepada anak-anak didik khasnya dan masyarakat amnya... ameen.


“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Wednesday, June 8, 2011

Sukaneka Taski ABIM Kuching-Samarahan 2011


Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Sukaneka Taski ABIM 2011 telah diadakan dengan jayanya pada 28 Jun 2011 yang lepas. Bertempat di Stadium Majlis Bandaran Kuching Selatan (MBKS), Pending, Kuching, temasya tersebut telah dihadiri oleh lebih seribu hadirin yang terdiri daripada ibu bapa dan sahabat handai. Seramai 404 orang adik-adik pelajar Taski ABIM daripada 9 cawangan di kawasan Kuching dan Samarahan menjadi tumpuan pada hari kemuncak tersebut.


Temasya Sukaneka 2011 telah dirasmikan dengan oleh Yang Di-Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan. Beliau mengalu-alukan kehadiran terutamanya para ibu bapa yang sudi hadir dan memberikan sokongan padu kepada Taski ABIM dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka. Berikut merupakan kontinjen-kontinjen Sukaneka Taski ABIM 2011:
Taski ABIM Taman Sri Wangi

Taski ABIM Taman Matang Jaya

Taski ABIM Samariang A


Taski ABIM Samariang B

Taski ABIM Taman Petronesa 2

Taski ABIM Kpg Cemerlang

Taski ABIM Tabuan Jaya

Taski ABIM Taman Desa Ilmu

Taski ABIM Taman Samar Indah

Debaran semakin terasa. Adik-adik tampak tidak sabar lagi berentap di lorong-lorong acara. Temasya bermula dengan acara perbarisan daripada semua kontinjen cawangan Taski ABIM, dikepalai oleh Taski ABIM Taman Desa Ilmu (Samarahan).



Pembacaan Ikrar dan Doa oleh wakil Kontinjen Taski ABIM Taman Desa Ilmu


Perbarisan kontinjen amat meriah, kerana setiap kontinjen membawa imej tema dan warna yang tersendiri. Warna-warni pada pagi yang menceriakan suasana. Ada yang seperti pendekar dan hulubalang, ada seperti pari-pari bidadari, ada pula seperti rama-rama yang berterbangan di taman. Apapun, tentunya menggambarkan semangat membara yang dibakar oleh guru-guru. Telatah dan gelagat adik-adik Taski yang bersemangat, sering melucukan!



Terima kasih sekalung budi ditujukan khas terutama kepada para ibu bapa / penjaga yang sentiasa memberikan kepercayaan dan sokongan padu kepada Taski ABIM. Dengan keteguhan kita saling harmoni bahu-membahu, mudah-mudahan datangnya keberkatan Allah dengan muafakat yang tersebut untuk anak-anak kita. Tidak dilupakan juga, kepada pimpinan serta ahli ABIM, guru-guru dan staf Taski ABIM Kuching-Samarahan, juruhakim daripada Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dan semua individu yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak menjayakan temasya ini.

Yang Di-Pertua ABIM, Ustaz Hasfa Bakhry menyampaikan medal acara


Tahniah kepada adik-adik dan guru-guru Taski yang menang!


Semoga bertambah kuat jalinan antara kita, mudah-mudahan yang terbaik untuk generasi mendatang, insya-Allah...

“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh dan Solehah”

Hari Keluarga Taski ABIM 2011


Taski ABIM Kuching-Samarahan telah mengadakan Hari Keluarga Taski ABIM 2011 bersempena sambutan Hari Guru 2011. Program tersebut telah telah diadakan pada 21 dan 22 Mei 2011 yang lepas di Kem Alapong, Lundu. Seramai 80 orang telah terlibat dalam program tersebut. Ahli keluarga guru dan staf turut hadir sekali dalam program tersebut.

Program tersebut diadakan bagi mempereratkan ukhuwah sesama ahli keluarga Taski ABIM dan ABIM Negeri Sarawak. Pelbagai acara sukaneka telah diadakan, melibatkan anak-anak, guru dan seisi staf keluarga Taski ABIM. Selain itu juga, program tersebut adalah sebagai penghargaan terutamanya kepada para guru yang bersungguh-sungguh mendidik anak-anak murid mereka.

Acara sukaneka diadakan dengan meriah sekali. Berikut merupakan sedutan suasana aktiviti-aktiviti dalam program tersebut:







Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Biro Pendidikan ABIM, En. Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin yang telah menyampaikan ucapan amanat beliau dalam majlis kemuncak pada sebelah malamnya. Beliau juga telah menyampaikan hadiah pertandingan sukaneka dan cabutan bertuah.


Akhir kata, tiada kata yang dapat diungkapkan kepada orang-orang yang berjasa mendidik kita, sehingga mendewasa hingga kini. Buat penghargaan kepada guru Taski terutamanya, bahawa guru Taski merupakan guru-guru pertama anak-anak kecil sebelum melangkah ke tingkat umur seterusnya. Bayangkan, bahawa melalui institusi pra-sekolah seperti Taski ABIM, guru-guru mendapat saham pahala sepanjang hayat. Kerana di sanalah anak-anak mula mengerti dan mengenal huruf-huruf... apatah lagi huruf-huruf kitab Allah, al-Quran.


Pada akhir entri ini, moleklah kiranya dibacakan puisi ulung yang terabadi dirakam oleh seorang pujangga agung tanah air, iaitu Sasterawan Usman Awang dengan puisi masyhur beliau... “Guru oh Guru”

Guru Oh Guru
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979




Terima kasih... guruku...

“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Sunday, May 15, 2011

Sambutan Hari Guru Taski ABIM 2011


Guru merupakan insan-insan yang tidak terkira besarnya makna dan jasa kepada kehidupan kita. Betapa siapapun seseorang itu pada suatu hari, apapun pekerjaannya, tinggi rendah darjatnya, pokok pangkalnya akan berbalik kepada jasa guru-guru yang mengajarkan, mendidik, bersabar membimbing anak-anak murid mereka.

Mulianya guru, nama mereka tidak didahului, melainkan dengan panggilan 'cikgu' ataupun seumpamanya. Dan, gelaran tersebut akan kekal melekat di bibir-bibir manusia, sekalipun jasadnya dimamah bumi...

Begitulah puisi lagenda oleh Sasterawan Negara Usman Awang dengan tajuk "Guru Oh Guru" (1979), mengungkapkan kemuliaan profesion guru, yang ikhlas membentur peribadi luhur anak-anak didiknya...


Bersempena dengan sambutan Hari Guru 2011, Taski ABIM Kuching-Samarahan dengan segala hormatnya menjemput ibu bapa / penjaga dan ahli masyarakat untuk bersama meraikan jasa dan pengorbanan para guru dalam bersama melakar pedoman untuk anak-anak. Oleh yang demikian, sambutan adalah seperti yang berikut (termasuk Taski dan Tahfiz ABIM):

Tarikh: 16 Jamadil Akhir 1432H / 20 Mei 2011, Jumaat
Tempat: Seluruh cawangan Taski ABIM Kuching-Samarahan
Masa: 8.00 pagi - 11.00 pagi
2.00 petang - 4.00 petang


Sebagai penyudah, marilah renungi ungkapan-ungkapan halus buat tatapan kepada jiwa pendidik:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
~"Guru Oh Guru" (1979), SN Usman Awang


Terima kasih atas segalanya, cikgu! Ampun salah dan silap tika kami sering tanpa sengaja menduga kesabaranmu!

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Wednesday, May 11, 2011

Jemputan ke Sukaneka Taski ABIM 2011



BIRO PENDIDIKAN ABIM SARAWAK dengan segala hormat dan takzimnya kami menjemput & mempersilakan tuan/ puan / ustaz / ustazah / saudara / saudari

ke
SUKANEKA TASKI ABIM 2011

Pada
SABTU, 28 MEI 2011 bersamaan 24 Jamadil Akhir 1432H

Tempat:

Stadium MBKS, TAMAN REKREASI, JLN PENDING, KUCHING

View Larger Map

Masa
7.30 pagi

ATURCARA

7.30 pagi Ketibaan jemputan / ibu bapa / penjaga / anak
8.00 pagi Ketibaan Ketua Biro Pendidikan ABIM Sarawak & Exco ABIM Sarawak

- Perbarisan Kontijen Taski ABIM Kuching-Samarahan
- Bacaan Ikrar / Nyanyian Lagu Negaraku / Ibu Pertiwiku / Taski ABIM
- Bacaan Doa
- Bermula Sukaneka
- Penyampaian Hadiah
- Bersurai


Semoga kehadiran tuan / puan / ustaz / ustazah / saudara / saudara
akan memeriahkan acara kami nanti, insya-Allah ;)

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Tuesday, May 10, 2011

Kem Citra Solehah 2011

Laporan Program

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Kem Citra Solehah 2011 telah diadakan pada 7 Mei 2011, Sabtu telah berjaya diadakan. Bertempat di Taski ABIM Samariang B, Jalan Sultan Tengah, seramai 24 peserta muslimah telah menyertai program tersebut.


Program ini merupakan kelolaan Unit Dakwah Taski ABIM Kuching-Samarahan, yang juga merupakan sebahagian daripada rangka menunaikan tanggungjawab sosial kepada masyarakat (program CSR – Corporate Social Responsibility), melalui program seumpama ini.

Program ini bertujuan membawakan pendedahan kesedaran kepada adik-adik peserta muslimah yang terdiri daripada murid-murid sekolah rendah akan alam keremajaan yang bakal mereka tempuh. Sesungguhnya persekitaran masakini amat menduga akal dan iman. Kaum Hawa seusia meningkat pada zaman ini khususnya amat terdedah kepada bahana ini.

Dengan bimbingan para fasilitator dan penceramah, para peserta bersama-sama menghayati indah, sempurnanya kehidupan akan hidup dengan panduan agama Islam. Program tersebut merangkumi kefahaman serta kesedaran agama, perubahan-perubahan asasi melangkah ke alam keremajaan, kemahiran memasak tanpa nasi dan latihan dalam kumpulan. Tambahan lagi, para peserta juga didedahkan dengan ilmu-ilmu asas berkenaan ibadat yang melengkapi dalam menyangkut hal seorang perempuan.

Bimbingan Solat Dhuha oleh Ustazah Suriani bt Bujang

Pengisian "Melangkah ke Alam Baligh" oleh Ustazah Jamaliah, Mantan Ketua HELWA ABIM Negeri Sarawak


Praktikal: Memasak Tanpa Api


Slot Motivasi "Permataku," oleh Pn. Siti Nurbaya bt Mohd. Basir, mantan Pengerusi HEWI PERKEPIS


Latihan Dalam Kumpulan (LDK)


Praktikal: Wudhu'

Sambutan para peserta amat menggalakkan, dengan penglibatan yang bersemangat daripada mereka. Pelbagai persoalan telah diajukan, yang amat berguna kepada mereka pada suatu hari kelak, insya-Allah.



Taski ABIM Kuching-Samarahan berhasrat untuk mengadakan Kem Citra Solehah kali kedua pada penghujung tahun 2011. Kita doakan agar terdapat lebih ramai penglibatan di kalangan adik-adik, insya-Allah.





"Ke Arah Pendidikan Anak-anak yang Soleh dan Solehah"