Guru merupakan insan-insan yang tidak terkira besarnya makna dan jasa kepada kehidupan kita. Betapa siapapun seseorang itu pada suatu hari, apapun pekerjaannya, tinggi rendah darjatnya, pokok pangkalnya akan berbalik kepada jasa guru-guru yang mengajarkan, mendidik, bersabar membimbing anak-anak murid mereka.
Mulianya guru, nama mereka tidak didahului, melainkan dengan panggilan 'cikgu' ataupun seumpamanya. Dan, gelaran tersebut akan kekal melekat di bibir-bibir manusia, sekalipun jasadnya dimamah bumi...
Begitulah puisi lagenda oleh Sasterawan Negara Usman Awang dengan tajuk "Guru Oh Guru" (1979), mengungkapkan kemuliaan profesion guru, yang ikhlas membentur peribadi luhur anak-anak didiknya...
Bersempena dengan sambutan Hari Guru 2011, Taski ABIM Kuching-Samarahan dengan segala hormatnya menjemput ibu bapa / penjaga dan ahli masyarakat untuk bersama meraikan jasa dan pengorbanan para guru dalam bersama melakar pedoman untuk anak-anak. Oleh yang demikian, sambutan adalah seperti yang berikut (termasuk Taski dan Tahfiz ABIM):
Tarikh: 16 Jamadil Akhir 1432H / 20 Mei 2011, Jumaat
Tempat: Seluruh cawangan Taski ABIM Kuching-Samarahan
Masa: 8.00 pagi - 11.00 pagi
2.00 petang - 4.00 petang
Sebagai penyudah, marilah renungi ungkapan-ungkapan halus buat tatapan kepada jiwa pendidik:
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
~"Guru Oh Guru" (1979), SN Usman Awang
Terima kasih atas segalanya, cikgu! Ampun salah dan silap tika kami sering tanpa sengaja menduga kesabaranmu!
"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"
No comments:
Post a Comment