Taski ABIM Kuching-Samarahan telah mengadakan Hari Keluarga Taski ABIM 2011 bersempena sambutan Hari Guru 2011. Program tersebut telah telah diadakan pada 21 dan 22 Mei 2011 yang lepas di Kem Alapong, Lundu. Seramai 80 orang telah terlibat dalam program tersebut. Ahli keluarga guru dan staf turut hadir sekali dalam program tersebut.
Program tersebut diadakan bagi mempereratkan ukhuwah sesama ahli keluarga Taski ABIM dan ABIM Negeri Sarawak. Pelbagai acara sukaneka telah diadakan, melibatkan anak-anak, guru dan seisi staf keluarga Taski ABIM. Selain itu juga, program tersebut adalah sebagai penghargaan terutamanya kepada para guru yang bersungguh-sungguh mendidik anak-anak murid mereka.
Acara sukaneka diadakan dengan meriah sekali. Berikut merupakan sedutan suasana aktiviti-aktiviti dalam program tersebut:
Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Biro Pendidikan ABIM, En. Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin yang telah menyampaikan ucapan amanat beliau dalam majlis kemuncak pada sebelah malamnya. Beliau juga telah menyampaikan hadiah pertandingan sukaneka dan cabutan bertuah.
Akhir kata, tiada kata yang dapat diungkapkan kepada orang-orang yang berjasa mendidik kita, sehingga mendewasa hingga kini. Buat penghargaan kepada guru Taski terutamanya, bahawa guru Taski merupakan guru-guru pertama anak-anak kecil sebelum melangkah ke tingkat umur seterusnya. Bayangkan, bahawa melalui institusi pra-sekolah seperti Taski ABIM, guru-guru mendapat saham pahala sepanjang hayat. Kerana di sanalah anak-anak mula mengerti dan mengenal huruf-huruf... apatah lagi huruf-huruf kitab Allah, al-Quran.
Pada akhir entri ini, moleklah kiranya dibacakan puisi ulung yang terabadi dirakam oleh seorang pujangga agung tanah air, iaitu Sasterawan Usman Awang dengan puisi masyhur beliau... “Guru oh Guru”
Guru Oh Guru
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.
USMAN AWANG
1979
Terima kasih... guruku...
“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”
No comments:
Post a Comment