Sunday, June 26, 2011

Taski ABIM di Fiesta Perbankan Islamik 2011


Taski ABIM Taman Matang Jaya amat bertuah kerana telah dipilih untuk terlibat dalam program Fiesta Perbankan Islam 2011 anjuran RHB Islamic Bank Berhad. Fiesta tersebut telah berlangsung selama 3 hari, iaitu bermula Jumaat, 24 Jun sehingga Ahad, 26 Jun 2011 di perkarangan RHB Islamic Bank, Jalan Satok, Kuching. Taski telah diberikan ruang untuk menghidangkan persembahan pada acara perasmian pada Jumaat dan terlibat dalam pertandingan mewarna pada Sabtu dan Ahad.

Tiga guru telah mengiring 14 orang pelajar Tahfiz ABIM Taman Matang Jaya dalam persembahan perasmian. Persembahan dua nasyid bernasihat yang bertenaga telah memukau dan menghiburkan tetamu yang hadir. Berikut merupakan ingatan terakam ketika majlis:

Cikgu Tini memberikan kata-kata semangat kepada anak-anak didik


“Dub dab dub dab!” Jantung berdebar-debar menjelang persembahan!

“Remaja, ingatlah masa depanmu!”


Pada hari Sabtu dan Ahad pula, para pelajar Taski bersama-sama ibu bapa terlibat dalam pertandingan mewarna di tapak Fiesta. Suasana amat meriah, dengan adik-adik masing-masing mempamerkan bakat kreatif.

Jalinan mesra antara ibu dan anak-anak

Fokus… adik-adik begitu asyik mewarna tanpa menyedari encik badut di sisinya


Warna…...


Keterlibatan anak-anak dan ibu bapa dalam program-program seumpama ini memberikan peluang untuk mempererat ikatan kasih sayang sesama ahli keluarga. Adanya aktiviti bersama akan merapatkan kebersamaan antara mereka. Terima kasih sekalung budi diucapkan kepada ibu bapa, anak-anak dan guru-guru dalam meluangkan masa sejenak bersama. Semoga ada manfaatnya bersama, insya-Allah.


“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Wednesday, June 22, 2011

Boleh Mendaftar Taski Pada Bila-bila Masa?


Dalam ruangan 'Sebarang Komen' di blog Taski ABIM, terdapat satu pertanyaan daripada seorang ibu. Beliau bertanyakan:


Soalan:
Bolehkah saya mendaftarkan anak saya yang berumur 6 tahun ke Taski ABIM pada bila-bila masa sahaja?


Jawapan:
Ya, Puan boleh mendaftarkan anak Puan pada bila-bila masa sahaja. Akan tetapi, kemasukan adalah tertakluk kepada kekosongan cawangan di kawasan berhampiran. Lazimnya terdapat kekosongan pada sesi sebelah petang.

Lokasi cawangan boleh didapati di pautan ini. Seeloknya hubungi dahulu ibu pejabat Taski ABIM di talian 082 - 446217.


Terima kasih.

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Ceramah Bersempena Isra' dan Mikraj


Kepada,

Ibu bapa / penjaga / guru / staf Taski / Pimpinan ABIM

Sukacita dimaklumkan bahawa satu sesi slot ceramah bersempena sambutan Isra' dan Mikraj akan disampaikan oleh Ustaz Musa bin Yahia, pengajar Tahfiz ABIM pada:

Tarikh: 29 Jun 2011 (27 Rejab 1432H), Rabu
Tempat: Dewan Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon, Taski ABIM Taman Sri Wangi
Masa: 3.00 petang

Semua hadirin dijemput hadir ke majlis ini.

Sekian, terima kasih.

Wassalam.


"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Friday, June 17, 2011

Kursus Pengajaran Fonetik


Syukur kepada Allah, Kursus Pengajaran Fonetik telah diadakan pada 18 Jun 2011, Sabtu di Dewan Ustaz Awang Pon bin Awang Sebon, Taski ABIM Taman Sri Wangi. Kursus tersebut telah disampaikan kepada guru-guru Taski oleh Dr. Tajul Aripin bin Kasim. Dr. Tajul kini menjawat jawatan pensyarah di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Beliau merupakan pakar dalam bidang fonetik dan fonologi negara. Beliau berpengalaman dalam menjadi guru Bahasa Melayu di sekolah menengah di Perak.


Kaedah fonetik merupakan kaedah pengajaran yang menumpukan penguasaan kemahiran bacaan yang dirangka dari peringkat kemahiran asas sehinggalah peringkat kemahiran lanjutan. Kaedah ini telah digunakan meluas di peringkat antarabangsa, akan tetapi baru bermula di negara kita. Kaedah ini yang menggunakan bunyi fonetik perkataan terbukti berkesan berbanding kaedah pengejaan huruf sebagaimana kebiasaan. Anak-anak mampu belajar membaca dengan lebih cepat melalui kaedah ini.


Para guru sempat berbengkel dan mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari. Praktikal mengajar telah diadakan, sambil itu mereka dibimbing oleh Dr. Tajul.



Taski ABIM sedang dalam rangka untuk menerapkan sistem pengajaran ini pada masa hadapan. Terima kasih sekalung budi diucapkan kepada Dr. Tajul atas kesudian kelapangan beliau berkongsi ilmu dan pengalaman mendidik anak-anak.

Mudah-mudahan tercapai hajat untuk melaksanakan, sebagai nilai tambah yang kami ingin tawarkan kepada ibu bapa dan ahli masyarakat. Semoga usaha kita ini mendapat redha dan berkat Allah.

“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”

Tuesday, June 14, 2011

Ujian Kelayakan Madrasah 2011


Assalamualaikum w.b.t

Kepada

Ibu Bapa / penjaga,

Dimaklumkan terutama kepada pelajar Taski ABIM yang mendaftar ujian kelayakan kemasukan Tahun 1 ke SK(A) Dato' Hj. Abdul Kadir Hassan (yang juga dikenali sebagai Madrasah), Kuching akan diadakan seperti yang berikut:

Tarikh: 8 Oktober 2011, Sabtu
Tempat: SK(A) Dato' Hj. Abdul Kadir Hassan
Masa: 9.00 pagi - 10.00 pagi

Dinasihatkan agar ibu bapa / penjaga untuk membawa alat tulis yang lengkap kepada anak-anak. Juga, dinasihatkan agar berada di Madrasah awal untuk mengelakkan kesesakan kelak.

Terima kasih. Harap Maklum.

"Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah"

Wednesday, June 8, 2011

Sukaneka Taski ABIM Kuching-Samarahan 2011


Alhamdulillah, syukur kepada Allah, Sukaneka Taski ABIM 2011 telah diadakan dengan jayanya pada 28 Jun 2011 yang lepas. Bertempat di Stadium Majlis Bandaran Kuching Selatan (MBKS), Pending, Kuching, temasya tersebut telah dihadiri oleh lebih seribu hadirin yang terdiri daripada ibu bapa dan sahabat handai. Seramai 404 orang adik-adik pelajar Taski ABIM daripada 9 cawangan di kawasan Kuching dan Samarahan menjadi tumpuan pada hari kemuncak tersebut.


Temasya Sukaneka 2011 telah dirasmikan dengan oleh Yang Di-Pertua Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sarawak, Ustaz Hasfa Bakhry bin Hassan. Beliau mengalu-alukan kehadiran terutamanya para ibu bapa yang sudi hadir dan memberikan sokongan padu kepada Taski ABIM dalam menyediakan perkhidmatan pendidikan terbaik untuk anak-anak mereka. Berikut merupakan kontinjen-kontinjen Sukaneka Taski ABIM 2011:
Taski ABIM Taman Sri Wangi

Taski ABIM Taman Matang Jaya

Taski ABIM Samariang A


Taski ABIM Samariang B

Taski ABIM Taman Petronesa 2

Taski ABIM Kpg Cemerlang

Taski ABIM Tabuan Jaya

Taski ABIM Taman Desa Ilmu

Taski ABIM Taman Samar Indah

Debaran semakin terasa. Adik-adik tampak tidak sabar lagi berentap di lorong-lorong acara. Temasya bermula dengan acara perbarisan daripada semua kontinjen cawangan Taski ABIM, dikepalai oleh Taski ABIM Taman Desa Ilmu (Samarahan).



Pembacaan Ikrar dan Doa oleh wakil Kontinjen Taski ABIM Taman Desa Ilmu


Perbarisan kontinjen amat meriah, kerana setiap kontinjen membawa imej tema dan warna yang tersendiri. Warna-warni pada pagi yang menceriakan suasana. Ada yang seperti pendekar dan hulubalang, ada seperti pari-pari bidadari, ada pula seperti rama-rama yang berterbangan di taman. Apapun, tentunya menggambarkan semangat membara yang dibakar oleh guru-guru. Telatah dan gelagat adik-adik Taski yang bersemangat, sering melucukan!



Terima kasih sekalung budi ditujukan khas terutama kepada para ibu bapa / penjaga yang sentiasa memberikan kepercayaan dan sokongan padu kepada Taski ABIM. Dengan keteguhan kita saling harmoni bahu-membahu, mudah-mudahan datangnya keberkatan Allah dengan muafakat yang tersebut untuk anak-anak kita. Tidak dilupakan juga, kepada pimpinan serta ahli ABIM, guru-guru dan staf Taski ABIM Kuching-Samarahan, juruhakim daripada Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dan semua individu yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak menjayakan temasya ini.

Yang Di-Pertua ABIM, Ustaz Hasfa Bakhry menyampaikan medal acara


Tahniah kepada adik-adik dan guru-guru Taski yang menang!


Semoga bertambah kuat jalinan antara kita, mudah-mudahan yang terbaik untuk generasi mendatang, insya-Allah...

“Ke Arah Pendidikan Anak Soleh dan Solehah”

Hari Keluarga Taski ABIM 2011


Taski ABIM Kuching-Samarahan telah mengadakan Hari Keluarga Taski ABIM 2011 bersempena sambutan Hari Guru 2011. Program tersebut telah telah diadakan pada 21 dan 22 Mei 2011 yang lepas di Kem Alapong, Lundu. Seramai 80 orang telah terlibat dalam program tersebut. Ahli keluarga guru dan staf turut hadir sekali dalam program tersebut.

Program tersebut diadakan bagi mempereratkan ukhuwah sesama ahli keluarga Taski ABIM dan ABIM Negeri Sarawak. Pelbagai acara sukaneka telah diadakan, melibatkan anak-anak, guru dan seisi staf keluarga Taski ABIM. Selain itu juga, program tersebut adalah sebagai penghargaan terutamanya kepada para guru yang bersungguh-sungguh mendidik anak-anak murid mereka.

Acara sukaneka diadakan dengan meriah sekali. Berikut merupakan sedutan suasana aktiviti-aktiviti dalam program tersebut:







Turut hadir dalam program ini ialah Ketua Biro Pendidikan ABIM, En. Wan Azizan bin Wan Zainal Abidin yang telah menyampaikan ucapan amanat beliau dalam majlis kemuncak pada sebelah malamnya. Beliau juga telah menyampaikan hadiah pertandingan sukaneka dan cabutan bertuah.


Akhir kata, tiada kata yang dapat diungkapkan kepada orang-orang yang berjasa mendidik kita, sehingga mendewasa hingga kini. Buat penghargaan kepada guru Taski terutamanya, bahawa guru Taski merupakan guru-guru pertama anak-anak kecil sebelum melangkah ke tingkat umur seterusnya. Bayangkan, bahawa melalui institusi pra-sekolah seperti Taski ABIM, guru-guru mendapat saham pahala sepanjang hayat. Kerana di sanalah anak-anak mula mengerti dan mengenal huruf-huruf... apatah lagi huruf-huruf kitab Allah, al-Quran.


Pada akhir entri ini, moleklah kiranya dibacakan puisi ulung yang terabadi dirakam oleh seorang pujangga agung tanah air, iaitu Sasterawan Usman Awang dengan puisi masyhur beliau... “Guru oh Guru”

Guru Oh Guru
BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979




Terima kasih... guruku...

“Ke Arah Pendidikan Anak-anak Soleh dan Solehah”